Jamal dibawa pulang dalam sehari dua ini, kata KPN

CHERAS: Polis Selangor akan ke Indonesia petang ini bagi mengambil Datuk Seri Jamal Yunos dari tangan pihak berkuasa republik itu dan membawanya pulang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamed Fuzi Harun.

“Saya harap dalam tempoh sehari dua ini kita dapat bawa dia pulang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa Jamal ditahan pada 6.15 petang waktu Malaysia, kelmarin.

Jamal, hilang dari Hospital Pakar Ampang Puteri, ketika polis dan peguam sedang melakukan dokumentasi ikat jamin, selepas beliau didakwa atas 3 pertuduhan di depan seorang majistret pada 25 Mei lalu.

Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Waran tangkap dikeluarkan terhadap Jamal tetapi beliau menafikan melarikan diri dari pihak berkuasa atau berada di luar negara, sebaliknya cuma salah faham kerana menyangka proses ikat jamin sudah selesai pada hari itu.

Fuzi turut mengulas berhubung bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang dikatakan melarikan diri dan kini berada di United Kingdom.

“Polis sudah hantar mesej kepada beliau (Musa) untuk dia beri kerjasama kepada kita. Kita tahu dia di mana, diharap dia patuh dan pulang untuk melengkapkan proses siasatan,” katanya.

Sebelum ini Musa berkata beliau berada di United Kingdom atas sebab perubatan dan urusan peribadi, dan menafikan dakwaan dia melarikan diri kerana satu laporan intimidasi jenayah terhadapnya oleh Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.