Kalau ini harga untuk khidmat 42 tahun, saya redha, kata Najib

Najib Razak dikerumuni wartawan dan polis selepas selesai proses ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta hari ini.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak redha dengan apa yang berlaku ke atas dirinya, selepas berdepan 4 pertuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa hari ini.

“Seperti mana diketahui umum, hari ini saya telah didakwa secara rasmi, sesuatu yang saya telah jangkakan kerana itulah kehendak kerajaan baru,” katanya selepas selesai proses ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta hari ini.

“Kalau inilah harga yang saya terpaksa bayar kerana 42 tahun saya berkhidmat untuk rakyat dan negara…saya redha.”

Ahli Parlimen Pekan itu bertegas beliau tidak bersalah dan akan membersihkan namanya daripada pelbagai tohmahan dalam perbicaraan.

“Apa yang saya harap bahawa proses keadilan adalah proses yang benar-benar adil berdasarkan peruntukan undang-undang dalam erti kata sebenar.

“Saya yakin atas ketidaksalahan saya. Ini adalah peluang terbaik untuk membersihkan nama saya secara tuntas selepas ditohmah dan dituduh dengan begitu berat.”

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas layanan baik ketika dipanggil memberi keterangan pada 22 dan 24 Mei lalu serta ditahan agensi anti-rasuah itu semalam.

Najib turut berterima kasih kepada sokongan moral diberikan pelbagai pihak, termasuk penyokongnya dan ahli Umno.

“Mudah-mudahan proses ini berjalan dengan baik. Saya harap rakyat dan penyokong saya bertenang.

“Saya juga kagum dengan kehadiran mereka untuk beri sokongan moral kepada saya. Walaupun saya tak buat sebarang gerakan, tapi mereka datang dengan rela hati.”

Beliau kemudian melambai ke arah penyokong dan ahli Umno yang menunggu di lobi serta luar mahkamah sebelum meninggalkan kawasan itu bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan 5 anaknya kira-kira 3.30 petang tadi.

Dua anaknya, Norashman dan Nooryana Najwa menjadi penjaminnya dan proses ikat jamin selesai 2.45 petang tadi.

Terdahulu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan menyalahgunakan jawatannya membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak menetapkan ikat jamin RM1 juta untuk semua pertuduhan, di mana RM500,000 dibayar hari ini dan baki sebelum 3 petang Isnin depan, bersama 2 penjamin.

Najib juga perlu menyerahkan 2 pasportnya kepada mahkamah dan 8 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes.

Hakim turut mencadangkan 19 hari perbicaraan kes pada tahun depan, dari 18 hingga 28 Februari, 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac.

Dalam kalangan 6 bekas perdana menteri Malaysia, Najib adalah pemimpin negara pertama yang menghadapi dakwaan jenayah.