Kontraktor utama ECRL ‘susah hati’, harap tangguh kerja dibatal

Kontraktor ‘susah hati dan bimbang’ memikirkan mata pencarian 2,250 kakitangan tempatan, serta ratusan kontraktor kecil, pembekal dan syarikat perunding.

KUALA LUMPUR: China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd hari ini mengesahkan pihaknya menerima notis tangguh semua kerja membina Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) daripada pemilik projek Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Syarikat itu dalam kenyataan berkat ia berasa “susah hati” dan kesal “penangguhan dikenakan sekarang selepas banyak kerja sudah dijalankan dengan baik”. Ia berharap kedua-dua pihak boleh mencapai situasi menang-menang.

Perkembangan ini menyusuli pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam yang mengatakan kos terakhir projek ECRL yang kontroversi itu akan mencecah RM81 bilion dan kos ini perlu dikurangkan dengan banyak supaya projek menjadi berdaya maju dari segi kewangan.

MRL sebelum ini mengarahkan kontraktor utama, China Communications Construction Ltd (CCCC), menangguhkan semua kerja-kerja kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta merta atas sebab “kepentingan nasional”.

China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd, yang merupakan sebahagian daripada CCCC, hari ini berkata kontrak ditandatangani oleh CCCC dan MRL secara sah.

“Kami berharap MRL akan menghormati kontrak yang ditandatangani itu.

“Kami menghormati dan mematuhi undang-undang Malaysia.

“Dalam keadaan ini, kami tiada pilihan kecuali mematuhi arahan penangguhan itu.

“Walaupun tempoh pengangguhan belum ditentukan, kami bimbang penangguhan ini akan menyebabkan kos tambahan, kerugian dan kerosakan.”

Syarikat itu berkata ia “susah hati dan bimbang” memikirkan mata pencarian 2,250 kakitangan tempatan, serta ratusan kontraktor kecil, pembekal dan syarikat perunding.

“Kami berharap kedua-dua pihak dapat mencapai penyelesaian menang-menang melalui rundingan yang ikhlas dan muhibah. Kami berharap penangguhan akan dibatalkan secepat mungkin demi manfaat semua pihak.”

Laman Edgemarkets hari ini melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Darwis Abd Razak dalam surat bertarikh 3 Julai berkata dalam tempoh penangguhan itu, syarikat perlulah “melindungi, menyimpan dan menjaga kerja-kerja yang sudah dijalankan daripada sebarang kemerosotan, kehilangan atau kerosakan”.

“Di samping itu, anda tidak boleh mengeluarkan sebarang peralatan, bahan atau mana-mana bahagian kerja-kerja itu dari tapak, tanpa persetujuan bertulis terlebih dahulu kami.

“Penggantungan ini berkuat kuasa serta-merta sehingga arahan selanjutnya dari kami.”