Malaysia usir Zakir Naik hari ini?

KUALA LUMPUR: Penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik, akan diusir hari ini, lapor media India, tetapi peguamnya di Malaysia nafi terima sebarang notis penghantaran pulang.

“Tak benar. Kami tak terima sebarang notis ekstradisi,” kata Shaharuddin Ali, yang mewakili Naik, kepada FMT.

Beliau berkata permintaan rasmi untuk menghantar pulang anak guamnya mestilah daripada Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Luar Negeri.

Beliau berkata notis itu tidak boleh daripada polis atau Jabatan Peguam Negara.

“Pada ketika ini, kita diarahkan untuk mencabar sebarang tindakan untuk mengekstradisi anak guam kami ke India. Kami perlu melihatnya ekstradisi itu secara bertulis.

“Jika ada ekstradisi secara bertulis, kami mahu melihatnya,” kata Shaharuddin.

Sementara itu, Naik dipetik Republic TV berkata berita ekstradisi itu “sama sekali tak berasas dan palsu”.

“Saya tiada rancangan untuk ke India sehingga saya rasa dilindungi dari pendakwaan tidak adil. InsyaAllah, saya akan pulang ke tanahair jika saya rasa kerajaan akan berlaku adil dan saksama,” katanya.

Media India hari ini melaporkan Naik, yang disiasat di India atas dakwaan pengubahan wang dan penyebaran ekstremisme, “akan menaiki penerbangan ke India hari ini”, menurut laporan Times Now.

Sementara itu NDTV melaporkan Naik akan dikeluarkan dari Malaysia “malam ini”, memetik seorang pegawai polis anti-pengganas di Bukit Aman, Mohammed Raby Abu Bakar.

Naik dituduh memberikan ucapan provokasi, yang menurut kerajaan Bangladesh menjadi penyebab serangan di Dhaka yang menyaksikan 22 orang maut.

Agensi Penyiasatan Kebangsaan India juga sedang menyiasat NGO yang diasaskan Naik, Yayasan Kajian Islam, berhubung dakwaan pengubahan wang.

Dia diberi status pemastautin tetap di Malaysia oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.