Pendakwaan terhadap Najib cuma permulaan, kata peguam

Najib Razak dikenakan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah dan 1 petuduhan salah guna kuasa. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Seorang peguam hari ini mengingatkan pendakwaan jenayah terhadap Najib Razak cuma permulaan kerana sekarang pendakwa raya mesti membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah bagi mendapatkan pensabitan.

SN Nair berkata pendakwa raya perlu menampilkan saksi berwibawa yang boleh bertahan semasa disoal para peguam bekas perdana menteri.

“Mereka juga perlu mengemukakan dokumen dan membuktikan pergerakan wang (berdasarkan dokumen yang sah),” katanya.

Beliau menambah pasukan pendakwaan nampaknya mempunyai kes yang kuat terhadap Najib.

Najib hari ini didakwa dengan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan 1 pertuduhan salah guna kuasa.

Bagi pertuduhan CBT pertama, Najib selaku perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat kepada SRC International, dituduh memindahkan RM27 juta dari syarikat itu kepada akau bank peribadi di AmIslamic Bank Bhd di Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan CBT kedua, Najib dituduh memindahkan RM5 juta dari SRC International ke akaun bank miliknya dalam tempoh yang sama.

Bagi pertuduhan CBT ketiga, Najib dituduh memindahkan RM10 juta dari SRC International ke akaunnya.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk menyalurkan RM42 juta, sambil memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC bernilai RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Nair berkata keterangan mesti menunjukkan Najib melakukan kesalahan-kesalahan itu.

“Sekiranya itu boleh dibuktikan, terdapat kemungkinan besar satu kes prima facie boleh ditetapkan di mana tertuduh akan diminta membela diri.”

Beliau tidak boleh meramal pembelaan Najib pada ketika ini kerana keterangan-keterangan pendakwa raya belum dikemukakan sepenuhnya di mahkamah.

“Walau apa pun perasaan orang ramai, undang-undang kita menganggap semua orang tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya.

Setiap pendakwaan terhadap Najib membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun. Pertuduhan salah guna kuasa memperuntukkan denda sekurang-kurangnya 5 kali ganda nilai suapan.