Penyokong Najib desak Tommy buat sidang media bahasa Melayu

Kekecohan tercetus di lobi mahkamah apabila penyokong Najib Razak mendesa Tommy Thomas mengadakan sidang media dalam bahasa Melayu.

KUALA LUMPUR: Keadaan di luar Mahkamah Tinggi kecoh dengan kumpulan penyokong Datuk Seri Najib Razak mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas untuk mengadakan sidang media dalam bahasa Melayu.

Kumpulan penyokong bekas perdana menteri itu kemudiannya melaungkan “Melayu, Melayu” dan “Hidup, hidup, hidup Najib”.

Pelakon, Ellie Suriaty yang berada dalam kalangan penyokong itu diberi amaran oleh polis selepas mendesak Thomas mengadakan sidang media dalam bahasa Melayu.

Beliau kemudiannya dibawa keluar dari lobi Kompleks Mahkamah KL oleh polis.

Tommy yang pada mulanya hendak mengadakan sidang media di lobi mahkamah, bertindak menukar lokasi ke tingkat 5 Kompleks Mahkamah KL.

Terdahulu, Thomas yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes Najib meminta perbicaraan di Mahkamah Tinggi dilakukan dalam bahasa Inggeris.

“Saya mohon prosiding dalam mahkamah dibuat dalam Inggeris,” katanya dalam bahasa Melayu kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Zainal Abidin Kamarudin selepas 4 pertuduhan dibacakan dalam bahasa kebangsaan.

Kefasihan Thomas dalam bahasa Melayu antara isu yang dibangkitkan pengkritiknya ketika beliau dinamakan sebagai pengganti Tan Sri Mohamed Apandi Ali, awal bulan lalu.