Polis: Siasatan diteruskan walaupun selepas Najib didakwa

Fuzi Harun berkata, pendakwaan ke atas Najib Razak hari ini dibuat berdasarkan siasatan SPRM.

CHERAS: Polis akan meneruskan siasatan terhadap Datuk Seri Najib Razak, walaupun selepas bekas perdana menteri itu didakwa di mahkamah atas 4 pertuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata mereka perlu mematuhi prosedur dan proses tertentu dalam setiap tindakan ke atas Najib.

“Itu kita semua bergantung pada siasatan dan keperluan, kita bukan boleh serbu atau tahan sebarangan, kita mesti ikut peraturan yang telah ditetapkan. Ketika ini, yang dituduh semua atas siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Pihak kita akan terus bekerjasama dengan badan ditetapkan dan secara dalaman pihak polis akan teruskan proses siasatan kerana kita juga kalau boleh hendak cepat.

“Apabila proses ini lengkap, kita kena rujuk timbalan pendakwa raya dan kita akan tunggu arahan selanjutnya dari timbalan pendakwa raya pula, ini adalah proses biasa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, hari ini.

Terdahulu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan menyalahgunakan jawatannya membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak menetapkan ikat jamin RM1 juta untuk semua pertuduhan, bersama 2 penjamin dan 2 pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Hakim menetapkan 8 Ogos ini untuk pengurusan kes dan 19 hari perbicaraan kes pada tahun depan, dari 18 hingga 28 Februari, 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac.

Dalam kalangan 6 bekas perdana menteri Malaysia, Najib adalah pemimpin negara pertama yang menghadapi dakwaan jenayah.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB sehingga diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Hakim benarkan Najib bayar ikat jamin RM1 juta sebanyak 2 kali