Rosmah tenang tunggu Najib diikat jamin

Rosmah Mansor yang tiba bersama 5 anaknya di mahkamah kira-kira 8.20 pagi tadi, hanya kelihatan petang ini. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor akhirnya dikesan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta untuk memberi sokongan dan menunggu proses ikat jamin suaminya, Datuk Seri Najib Razak selesai.

Beliau yang berpakaian baju kurung kuning, kelihatan tenang menunggu pembayaran wang jaminan dilakukan 2 penjamin yang juga anaknya, Norashman dan Nooryana Najwa.

Difahamkan, Rosmah bersama 5 anaknya tiba di mahkamah kira-kira 8.20 pagi tadi.

Proses ikat jamin selesai 2.45 petang tadi.

Terdahulu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan menyalahgunakan jawatannya membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak menetapkan ikat jamin RM1 juta untuk semua pertuduhan, di mana RM500,000 dibayar hari ini dan baki sebelum 3 petang Isnin depan, bersama 2 penjamin.

Najib juga perlu menyerahkan 2 pasportnya kepada mahkamah dan 8 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes.

Hakim turut mencadangkan 19 hari perbicaraan kes pada tahun depan, dari 18 hingga 28 Februari, 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac.

Dalam kalangan 6 bekas perdana menteri Malaysia, Najib adalah pemimpin negara pertama yang menghadapi dakwaan jenayah.