11 etnik Uighur mohon Peguam Negara gugur pertuduhan

Mahkamah Majistret hari ini menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 Julai depan, sementara menunggu keputusan berkenaan wakil mereka. Ini merupakan kali kelima kes disebut di mahkamah. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: 11 etnik Uighur Muslim yang melarikan diri dari pusat tahanan berhampiran sempadan Thailand-Malaysia November lalu memohon Jabatan Peguam Negara menggugurkan pertuduhan terhadap mereka kerana memasuki negara ini secara haram.

Peguam Raimi Abd Rahim berkata, pihaknya memohon Jabatan Peguam Negara mempertimbangkan kembali pertuduhan dikenakan terhadap 11 lelaki berkenaan.

“Kita melihat bahawa kes ini merupakan kes mendapat liputan antarabangsa.

“Kita berharap Jabatan Peguam Negara melihat pertuduhan yang dikenakan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen dan memberikan kami keputusan sebelum tarikh sebutan semula kes pada bulan ini,” katanya.

Mahkamah Majistret hari ini menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 Julai depan, sementara menunggu keputusan berkenaan wakil mereka. Ini merupakan kali kelima kes disebut di mahkamah.

11 lelaki itu, Zakaria Arman, Salehudin Ali, Jaefar Amin, Osman Abbas, Alin Osman, Asen Ziyali, Taher Kasim, Ibrahim Rexiti, Nurudin Muhammad, Abdul Kader, dan Yusuf Ahmed memohon dibicarakan pada April lepas kerana memasuki Malaysia tanpa permit yang sah.

Mereka dipercayai berumur antara 20 hingga 40 tahun dan ditahan sejak kali pertama mereka dibawa ke mahkamah pada awal tahun ini.

Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya.

Ketika ditanya sama ada pihaknya mempunyai perancangan untuk membawa mereka keluar dari Malaysia ke negara lain, Raimi hanya berkata “ia sedang berjalan”, tetapi tidak mendedahkan butiran mengenainya.

Pada Februari lalu, pertubuhan hak asasi manusia global, Human Rights Watch (HRW) menggesa Malaysia tidak mengusir 11 etnik Uighur Islam warga China itu yang dilaporkan ditahan di negara ini selepas melarikan diri dari Thailand tahun lepas.

HRW berkata, etnik Uighur seharusnya diberi akses segera kepada prosiding penentuan status pelarian oleh agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).

11 etnik Uighur itu adalah sebahagian daripada sekumpulan 20 orang yang melarikan diri dari pusat tahanan imigresen berhampiran sempadan Thailand-Malaysia pada November lalu dengan menggali lubang di dinding dan menggunakan selimut sebagai tangga.

Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 200 orang yang ditahan di Thailand pada 2014.

 

Jangan hantar pulang 11 etnik Uighur, rayu Santiago

11 etnik Uighur didakwa masuk Malaysia secara haram

PDRM, polis Thailand bincang isu tahanan Uighur

Badan peguam gesa jangan hantar pulang 11 orang Uighur ke China

Malaysia digesa jangan hantar pulang umat Islam Uighur ke China