Jangan hantar pulang 11 etnik Uighur, rayu Santiago

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) melindungi 11 etnik Uighur beragama Islam, yang dijadualkan dihadapkan ke mahkamah hari ini, dengan tidak menghantar mereka pulang ke China.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata, 11 warga China itu berhadapan risiko penganiayaan, penjara seumur hidup dan penyiksaan.

11 etnik Uighur tersebut didakwa memasuki Malaysia secara haram selepas melarikan diri dari depot imigresen di Thailand.

Pada Februari lepas, kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, berkata China membuat permohonan rasmi meminta mereka diekstradisi.

Perbicaraan hari ini akan menentukan sama ada penghantaran pulang mereka akan dibenarkan.

Pertubuhan hak asasi manusia, Tenaganita menyuarakan kebimbangannya 11 orang itu akan dihantar pulang.

Santiago berkata peraturan umum hak asasi manusia menetapkan mana-mana orang yang berhadapan ancaman terhadap nyawa mereka di negara asal hendaklah dilindungi oleh negara di mana mereka berada.

Kerajaan persekutuan hendaklah membenarkan kumpulan 11 orang itu tinggal di Malaysia sehingga wujud jaminan mereka tidak akan dianiayai atau disiksa di China.

“Mereka tidak berhadapan pertuduhan jenayah, sebaliknya terdapat unsur politik. Hakikat mereka melarikan diri dari China menunjukkan mereka tidak yakin negara tersebut akan menegakkan hak asasi manusia. Oleh sebab itu kita tidak harus menghantar mereka balik. Ia bersamaan menghantar mereka ke tali gantung.”

Etnik Uighur yang kebanyakannya berugama Islam tinggal terutamanya di wilayah Xinjiang dan Hunan, dan merupakan satu daripada 57 kumpulan minoriti etnik di negara China.

Masyarakat Uighur telah lama dilaporkan mengalami penindasan dan diskriminasi.

Pengarah eksekutif Tenaganita, Glorence Das berkata, Malaysia merupakan salah satu negara yang bertindak menghantar pulang etnik Uighur yang bercanggah dengan amalan undang-undang antarabangsa.

Tahun lepas, hampir 12,000 tahanan politik etnik Uighur dipenjarakan di kem pendidikan semula yang sesak dan berkeadaan buruk di wilayah Xinjiang, kata beliau.

Beliau meminta kerajaan pimpinan PH memenuhi janji kempen pilihan raya mereka mahu membina reputasi baru kerajaan Malaysia dengan pelaksanaan dasar yang menghormati hak asasi manusia dan menyediakan perlindungan kepada pemohon suaka.

11 etnik Uighur didakwa masuk Malaysia secara haram

PDRM, polis Thailand bincang isu tahanan Uighur

Badan peguam gesa jangan hantar pulang 11 orang Uighur ke China

Malaysia digesa jangan hantar pulang umat Islam Uighur ke China