Kematian bayi: ‘Kerja mudah’, kata pengasuh tak berdaftar

Pengasuh di rumah yang tidak berdaftar mendapat banyak permintaan daripada orang ramai walaupun tidak mempunyai sijil penjagaan bayi dan kanak-kanak. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Asiah (bukan nama sebenar) menjadi pengasuh bayi dan kanak-kanak sejak dahulu lagi di rumah flat yang terletak di Kuala Lumpur bagi menampung kehidupan keluarganya.

Bagi Asiah, pengasuh di rumah yang tidak berdaftar sepertinya mendapat banyak permintaan daripada orang ramai walaupun tidak mempunyai sijil penjagaan bayi dan kanak-kanak.

Lagipun katanya, ia kerja mudah kerana tidak memerlukan modal besar serta tidak perlu mengikut piawaiaan.

Menurutnya, walaupun tidak menjalani kursus asuhan, dia mempunyai pengalaman mengasuh budak di tadika. Dengan pengalaman itu, Asiah menjadi pengasuh sepenuh masa di rumah sendiri sambil menjaga 2 anak yang masih kecil kerana upah menjaga bayi dan kanak-kanak lumayan.

“Ramai ibu-bapa yang bekerja hingga lewat malam akan memberi kami duit lebih kerana setiap 1 jam lewat akan ada bayaran tambahan berbanding pusat asuhan yang mengenakan bayaran terlalu mahal,” katanya.

Disebabkan itu pengasuh di rumah menjadi pilihan, tambah beliau.

“Bayaran bulanan bagi bayi berusia 3 bulan hingga 4 tahun untuk 8 jam sehari, saya ambil RM350.”

Untuk budak sekolah, Asiah memberi perkhidmatan “transit” iaitu menyediakan makanan tengah hari selepas pulang dari sekolah dan memastikan mereka mandi dan bersedia ke kelas tambahan.

Untuk perkhidmatan itu, Asiah mengenakan bayaran sebanyak RM150 sebulan. Asiah sekarang menjaga 2 bayi berusia 3 bulan, seorang kanak-kanak 4 tahun, selain 2 anaknya sendiri.

“Saya akan membantu menguruskan mereka kerana saya juga perlu menjaga 2 orang anak yang masih kecil”.

Bekas timbalan menteri sumber manusia, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib sebelum ini memberitahu, sikap mementingkan keuntungan dengan mengambil ramai kanak-kanak pada satu-satu masa dan diletakkan di bawah jagaan pengasuh yang sedikit, tidak terlatih serta bermasalah antara penyumbang kepada kes penderaan dan penganiayaan.

Tahun ini sahaja terdapat 2 kes meragut nyawa bayi yang di hantar ke rumah pengasuh. Kes pertama pada Januari lepas melibatkan bayi 13 bulan ditemui mati di rumah pengasuh di Kuantan dan semalam seorang lagi bayi lelaki berusia 5 bulan mati di rumah pengasuh di Batu Caves.

Bagi seorang lagi pengasuh berusia 31 tahun yang mahu dikenali sebagai Nur, ibu bapa selalu bertanya tentang perkhidmatannya melalui aplikasi Whatsapp sebelum datang untuk melihat keadaan rumah dan berkenalan dengannya.

“Saya hanya tinggal di rumah teres yang sederhana dan rumah saya tidak bahaya kepada bayi dan kanak-kanak. Oleh sebab itu, ibu bapa sekarang tidak kisah memilih pengasuh di rumah kerana kami mempunyai rumah yang selesa.”

Nur berkata jagaannya akan dibiarkan bermain sesama mereka, makan dan menonton kartun kegemaran di televisyen adalah rutin harian semasa berada di situ.

Semalam, media melaporkan Adam Rayqal Mohd Sufi hilang selepas pengasuhnya mendakwa tersalah serah bayi berkenaan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai bapa di rumahnya yang terletak di Kampung Nakhoda, Batu Caves.

Bagaimanapun siasatan polis menemui mayat bayi berkenaan disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais 2 pintu di rumah pengasuh terbabit selepas mendapati terdapat keraguan dalam keterangan beliau.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/04/2-suspek-sorok-bayi-dalam-peti-sejuk-direman-7-hari/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/04/bayi-5-bulan-didakwa-hilang-ditemui-dalam-peti-sejuk-pengasuh/