Mayat dikerat dijumpai dalam 2 beg pakaian di Sungai Gombak

Mayat yang dikerat itu kini dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mayat yang dikerat kepada beberapa bahagian, dijumpai dalam 2 beg pakaian di tebing Sungai Gombak berhampiran bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra, tengah hari ini.

Menurut sumber, mayat itu ditemukan oleh seorang pekerja landskap yang berada di tempat kejadian, kira-kira 12 tengah hari tadi.

Lelaki tersebut yang ternampak kaki manusia terjulur keluar dari satu daripada beg pakaian itu terus memaklumkan kepada pihak polis mengenai penemuannya.

“Pemeriksaan mendapati badan mangsa dimasukkan dalam satu beg manakala kaki, tangan serta kepala di dalam satu lagi beg,” katanya.

Identiti mangsa termasuk jantina masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Rudy Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penemuan tersebut dan berkata mayat berkenaan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Polis telah mengambil keterangan 2 lelaki serta seorang wanita, dipercayai tinggal di sekitar kawasan itu untuk membantu siasatan.