Peguam: Najib tidak mesti diberikan dokumen selepas didakwa

Bekas perdana menteri Najib Razak ketika tiba di mahkamah semalam. Peguam beliau mempersoalkan kenapa pihak pendakwa tidak membekalkan kepada mereka dokumen selepas Najib didakwa. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Dua orang peguam hari ini menyanggah aduan peguam Datuk Seri Najib Razak kerana tidak diberikan apa-apa dokumen selepas tuduhan terhadap bekas perdana menteri dibacakan semalam, dengan berkata tidak terdapat undang-undang khusus yang menetapkan dokumen berkaitan diberikan serta-merta.

Muhammad Rafique Rashid Ali.

Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, dakwaan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa pihak pembelaan mesti dibekalkan dokumen tersebut adalah berlawanan dengan amalan perbicaraan jenayah di negara ini.

“Tidak ada undang-undang khusus yang menetapkan orang yang dituduh mesti diberikan dokumen selepas didakwa,” katanya, dan menambah Shafee tidak perlu mencuba mendapatkan perhatian awam.

Beliau memberitahu FMT, pihak pembelaan dalam kes jenayah biasanya diberikan dokumen selepas tertuduh didakwa, seperti dikehendaki di bawah Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah (CPC).

Bagaimanapun katanya, ini biasanya akan berlaku dalam eksesais pengurusan kes yang pertama, yang biasanya diadakan sebulan selepas tertuduh didakwa.

“Di negara kita, kesan sahih Seksyen 51A ialah pendakwa akan membekalkan dokumen berkaitan yang bakal mereka gunakan dalam perbicaraan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Semalam, Shafee mempersoalkan tindakan pendakwa tidak memberikan apa-apa dokumen kepada pihak pembelaan selepas Najib didakwa.

“Kita hanya ada kertas pertuduhan,” katanya. “Malah saya tidak dapat pun kenyataan beramaran anak guam atau dokumen lain untuk kami menyediakan pembelaan kes.”

Beliau berkata, bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail sebelum ini berkata, mereka bersedia mendakwa Najib pada Julai 2015, justeru seharusnya sudah mempunyai dokumen terbabit tersedia.

Beliau juga berkata, sewaktu mewakili bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib di Australia kerana membuat perisytiharan mata wang palsu, pihak pendakwa membekalkan dokumen terbabit pada hari anak guamnya didakwa.

Salim Bashir.

Bagaimanapun peguam Salim Bashir bersetuju dengan Rafique dan berkata, tidak terdapat “peraturan tetap” bahawa dokumen mesti diserahkan serta-merta selepas tertuduh didakwa.

Biasanya, kata beliau, pihak pendakwa hanya menyediakan dokumen berkaitan beserta kertas pertuduhan “tidak lama” selepas tertuduh didakwa.

Beliau berkata, berpandukan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes sodomi 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim, dokumen yang akan digunakan oleh pendakwa bagi membuktikan kes mereka mesti diberikan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Katanya, di bawah Seksyen 172A CPC, mahkamah mesti memastikan dokumen diserahkan kepada pihak pembelaan semasa eksesais pengurusan kes dan sebelum perbicaraan bermula.

“Bagaimanapun terdapat sedikit pindaan kepada undang-undang. Sekiranya dokumen tidak berada dalam pemilikan pendakwa, ia boleh diberikan semasa perbicaraan berjalan, dengan syarat ia dilakukan dengan niat baik.”

Najib berhadapan 3 tuduhan pecah amanah dan tuduhan keempat salah guna kuasa berkaitan wang sebanyak RM42 juta milik anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Beliau meminta dibicarakan atas kesemua 4 tuduhan dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan 2 penjamin. Beliau juga diperintahkan menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah.