Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS

Pasaran masih mencari petunjuk baru menjelang tindakan AS mengenakan tarif terhadap import China bernilai AS$34 bilion, selain pengumuman minit mesyuarat terbaru Rizab Persekutuan AS dan data gaji bukan perladangan AS esok. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS pada sesi dagangan awal hari ini ketika para pelabur terus memilih untuk berada di luar pasaran kerana kekurangan pemangkin ketika ini, kata peniaga.

Pada 9.00 pagi ini, ringgit disebut harga pada paras menyamai penutupan semalam iaitu 4.0440/0480 berbanding dolar AS.

Seorang peniaga berkata pasaran masih mencari petunjuk baru menjelang tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif terhadap import China bernilai AS$34 bilion pada Jumaat, selain pengumuman minit mesyuarat terbaru Rizab Persekutuan AS dan data gaji bukan perladangan AS esok.

“Ringgit akan terus dipengaruhi oleh sentimen risiko serantau yang lebih meluas,” katanya.

Selain itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9596/9632 daripada 2.9616/9651 serta naik berbanding yen kepada 3.6604/6650 daripada 3.6607/6650 pada Rabu.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.3458/3527 daripada 5.3417/3486 dan rendah berbanding euro kepada 4.7133/7183 daripada 4.7048/7111.