Syiah perlu disiasat elak masalah lebih besar, kata bekas polis

Awaluddin berkata, perhatian perlu diberikan terhadap fahaman Syiah kerana Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengeluarkan fatwa berkenaan perkara itu.

KUALA LUMPUR: Polis perlu lakukan risikan terhadap individu dikaitkan dengan fahaman Syiah bagi membendung masalah lebih besar pada masa hadapan, kata bekas ketua penolong pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Bukit Aman, Datuk Awaluddin Jadid.

Awaluddin berkata, perhatian perlu diberikan terhadap fahaman Syiah kerana Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengeluarkan fatwa berkenaan perkara itu.

“Saya perlu berikan perhatian kerana Syiah sudah difatwakan, niatnya adalah kita terpaksa berikan perhatian dalam isu ini. Kita tidak mahu benda kecil akan berbahaya pada masa hadapan,” katanya dalam siasatan awam Suhakam, hari ini.

Awaluddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan peguam mewakili ahli keluarga Amri Che Mat dan menjelaskan mengenai ucapannya dalam program Belia Menentang Keganasan, pada 6 November 2016.

Dalam ucapan pada 2016, Awaluddin berkata fahaman Syiah adalah salah satu musuh kepada negara selain fahaman ekstremis seperti Islamic State (IS).

“Apabila kalau kita terlalu sibuk pasal isu IS, kita lupa tentang siapa musuh kita yang sebenarnya di Malaysia ini. Kita mempunyai banyak musuh…Syiah seperti contoh,” katanya pada 2016.

Bagaimanapun, Awaluddin menarik semula kenyataannya 3 tahun lalu dan meminta panel siasatan awam diketuai Datuk Mah Weng Kwai tidak menggunakan istilah “musuh” kepada pengikut fahaman Syiah.

“Ucapan itu saya sengaja sensasikan, saya minta perkataan ‘musuh’ itu ditarik semula. Saya juga tidak setuju bahawa pengikut fahaman Syiah membahayakan keselamatan,” katanya sewaktu menjawab soalan peguam.

Dalam ucapannya pada 2016 juga, Awaluddin menjelaskan fahaman Syiah turut terpalit kepada anggota polis bagaimanapun dalam siasatan hari ini, beliau mengakui fahaman itu tidak menjejaskan tugas anggota polis.

Pada masa sama, Awaluddin menyatakan antara tugas unit Cawangan Khas adalah membendung perkara yang tidak diingini berlaku dan mencegah sebelum sesuatu perkara (buruk) terjadi.

“Kita beri perhatian dalam isu Syiah ini bagi mengelakkan apa yang terjadi di Timur Tengah. Di negara seperti Syria dan Iraq, ada perbalahan berlaku di antara pengikut Sunni dan Syiah,” katanya.

Syiah merupakan aliran Islam ke-2 terbesar di dunia, dan paling berpengaruh di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain dan beberapa kawasan di Arab Saudi serta Yaman.

Terdahulu, Awaluddin menafikan beliau mempunyai kaitan dengan kehilangan Amri seperti didakwa isteri Amri, Norhayati Ariffin dalam laporan polisnya pada 12 Mei lalu.

Norhayati mendakwa bertemu dengan anggota polis dikenali sebagai Sarjan Shamzaini Mohd Daud dan memaklumkan kehilangan Amri mempunyai kaitan dengan Awaluddin.

Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016 lepas.

Siasatan awam berkaitan kehilangan Amri, Pastor Raymond Koh serta Pastor Joshua Hilmi dan isteri beliau Ruth Sitepu dibuat di bawah Seksyen 12 (1) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

Panel inkuiri tersebut terdiri daripada pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Khai selaku pengerusi, Datuk Dr Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Nik Salleh dan dijangka berakhir hari ini.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/02/pegawai-sb-nafi-siasat-kes-kehilangan-amri/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/01/22/shahidan-tidak-mahu-ulas-kehilangan-amri-che-mat/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/02/suhakam-minta-polis-siasat-data-lokasi-isteri-amri-pegawai-sb/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/15/anda-diberi-peluang-buat-perkara-betul-rayu-isteri-amri/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/07/saksi-individu-jumpa-isteri-amri-memang-pegawai-sb/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/17/panel-suhakam-terkejut-polis-sifatkan-kehilangan-amri-bukan-kes-jenayah/