Umur bukan lagi faktor penentu kebolehan, kata timbalan menteri

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim menyuarakan sokongan kepada rancangan menurunkan had umur pemimpin belia kepada 30 ke 35 tahun daripada 40 sekarang, dengan berkata langkah itu akan membolehkan lebih ramai golongan muda berbakat dilatih sebagai pemimpin masa depan

“Pada usia 36, saya merupakan timbalan menteri paling muda dalam Kabinet, katanya kepada FMT. “Tetapi jangan jadikan umur seseorang penentu kemampuan atau ketidakmampuannya.

Beliau berkata, Kabinet baru kini menggambarkan keadaan yang tidak dijangka berlaku oleh ramai orang, termasuk mempunyai perdana menteri paling tua di dunia, menteri paling muda dan timbalan perdana menteri wanita pertama.

Sim merupakan timbalan kepada Syed Sadiq Syed Abdul Rahman, 26, yang merupakan menteri persekutuan paling muda dalam sejarah negara selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agung awal bulan ini.

“Kita juga ada ramai muka muda dalam Kabinet, termasuk Yeo Bee Yin, menteri wanita paling muda, sebagai menteri tenaga, teknologi hijau, sains, perubahan iklim dan alam sekitar, serta timbalan menteri yang muda seperti Hannah Yeoh dan Teo Nie Ching.

“Jangan terikat dengan konsep umur tradisional. Umur tidak perlu menjadi isu lagi dalam Malaysia baru yang kita sedang bentuk sekarang.

Had umur baru pemimpin beliau itu diumumkan Menteri Beliau dan Sukan, Syed Sadiq, semalam.

Walaupun terdapat kritikan bahawa sesetengah portfolio dalam Kabinet tidak berpadanan dengan calon pilihan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Sim berkata portfolio belia dan sukan dekat di hati beliau.

“Ia mempunyai pelbagai isu yang luas dan saling berkait, termasuk ekonomi, pekerjaan belia dan masalah sosial. Sukan pula adalah bidang tersendiri yang sangat luas juga.”

Beliau menambah banyak soalan yang dibangkitkannya di Parlimen adalah berkait rapat dengan belia dan sukan.

Sim merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam untuk penggal kedua setelah menyertai DAP 11 tahun lepas.

Beliau mula bertanding dalam pilihan raya umum 2013 dan memenangi kerusi Parlimen Bukit Mertajam. Sebelum itu beliau merupakan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Sejak menjadi Ahli Parlimen, Sim berkata, beliau menggunakan teknologi bagi memperbaiki fungsi pentadbiran dan penyampaian kepada rakyat.

Beliau adalah individu di sebalik pengenalan aplikasi mesra pengguna dinamakan “Citizen Action Technology” bagi membantu orang ramai membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan.

Sim memberitahu FMT, beliau berharap rakyat akan menilai kedudukannya sebagai Ahli Parlimen dan timbalan menteri berdasarkan kerja yang dilakukan.

“Tak ada jalan pintas kepada kedudukan kami sekarang. Adakah kami terlalu muda untuk menjadi menteri dan timbalan menteri?,” soalnya.

“Keluk pembelajaran saya sangat curam, iaitu selepas “dinaikkan pangkat” daripada Ahli Parlimen kepada timbalan menteri.

“Saya membaca laporan demi laporan, dan bermesyuarat dengan ketua jabatan bersama-sama menteri sejak mengangkat sumpah awal minggu ini.”

Ketika ditanya perasaannya ditempatkan di Kuala Lumpur sekarang, Sim berkata penduduk Bukit Mertajam tahu bagaimana untuk menghubungi beliau sekiranya mereka memerlukan perhatiannya.

“Saya budak Bukit Mertajam. Sewaktu mengangkat sumpah, saya memakai tali leher sekolah menengah saya sebagai peringatan tentang asal usul dan rakyat yang saya wakili,” katanya.