‘Hakim kendali kes Najib dipilih rawak’

Media sebelum ini melaporkan Sofian Abd Razak perlu menarik diri daripada mendengar kes Najib Razak atas alasan abangnya mempunyai jawatan dalam Umno dan kerajaan Pahang. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Pemilihan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abd Razak untuk mendengar kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa, dibuat secara rawak.

Pejabat ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan media hari ini berkata, mulai 13 Jun 2017, pendaftaran kes jenayah di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dilaksanakan dalam talian melalui Portal e-Filing Mahkamah (https://efs.kehakiman.gov.my).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abd Razak.

Ini kerana proses pendaftaran bermula apabila pihak pendakwa raya memfailkan kes mereka di dalam sistem e-Filing dan sistem ini akan membahagikan kes secara rawak kepada hakim yang mengendalikan kes jenayah.

“Merujuk kes pendakwa raya lawan Datuk Seri Najib Razak yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018, pendaftaran dan pembahagian kes dibuat secara rawak oleh sistem kepada Mahkamah Tinggi 3, Bahagian Jenayah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” kata kenyataan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi 3 ialah Sofian.

Rabu lalu, Najib, 65, mengaku tidak bersalah di depan Sofian atas 3 pertuduhan pecah amanah dan 1 tuduhan menyalahgunakan kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Media sebelum ini melaporkan Sofian perlu menarik diri daripada mendengar kes Najib atas alasan abangnya mempunyai kedudukan dalam Umno dan kerajaan Pahang.