Kenapa Dr M beri Amanah, PPBM lebih kerusi Kabinet

Anggota tambahan Kabinet mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara Isnin, 2 Julai lepas. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Barisan anggota Kabinet Dr Mahathir mungkin menggambarkan strategi untuk menarik ahli PAS dan Umno menyertai Amanah dan PPBM, kata penganalisis politik Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Awang Azman berkata, barisan Kabinet itu jelas membayangkan kuasa Dr Mahahir sebagai perdana menteri untuk membuat pilihannya sendiri kerana tidak semua calon yang dicadangkan oleh parti komponen Pakatan Harapan (PH) diterima beliau untuk lantikan.

Walaupun secara kolektif PKR dan DAP memenangi 73.6% kerusi Parlimen PH, mereka hanya mendapat 50% jawatan Kabinet.

“Ini kerana beliau mahu memberi lebih banyak kerusi kepada Amanah dan PPBM supaya lebih ramai ahli PAS dan Umno meninggalkan parti masing-masing dan menyertai Amanah dan PPBM,” kata Awang Azman.

“Tentulah langkah ini menimbulkan tidak puas hati dalam DAP dan PKR, tetapi selagi Dr Mahathir menjadi perdana menteri, beliau mempunyai kuasa membuat pilihan dan keputusan yang difikirkanya terbaik, dan menarik lebih ramai orang menyertai Amanah dan PPBM,” katanya kepada FMT.

Awang Azman, pensyarah di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya berkata, ramai ahli PAS yang menyertai Amanah, kini merupakan menteri dan timbalan menteri. Mereka yang dipecat daripada Umno oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, juga menjadi menteri besar dan menteri kanan.

Sebelum ini Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh mempersoalkan kenapa hanya ada 6 menteri daripada DAP, dengan berkata angka itu tidak menggambarkan “aspirasi rakyat” kerana DAP mempunyai kerusi kedua paling banyak dalam kalangan parti komponen PH.

Wong juga berkata Dr Mahathir gagal menghormati cadangan yang dikemukakan parti komponen.

Namun begitu, Awang Azman percaya “Dr Mahathir mempunyai formula dan kriteria sendiri dalam tindakan dan pilihan beliau” serta telah mengambil masa untuk memutuskan tentang Kabinet tersebut kerana “mahu menunjukkan beliau serius dalam perkara itu”.

Beliau berkata, terdapat beberapa calon lain seperti Husam Musa dariada Amanah dan pakar strategi DAP Liew Chin Tong, yang dikatakan sedang dipertimbangkan oleh Dr Mahathir untuk lantikan tambahan.

Awang Azman berkata, sesetengah pilihan tampak menggambarkan kuasa Dr Mahathir dalam membuat lantikan Kabinet.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen tidak dipilih sebagai menteri tetapi dilantik sebagai timbalan menteri perdagangan, walaupun pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang ketika berkempen pilihan raya Mei lepas berkata, Chong patut dilantik sebagai menteri.

“Chong merupakan Ahli Parlimen 4 penggal, sementara individu seperti Baru Bian dan lain-lain baru satu penggal, tetapi dilantik sebagai menteri kerjaraya. Jelas kelihatan Dr Mahathir, sebagai perdana menteri, mempunyai lebih banyak kuasa dalam membuat keputusan,” kata beliau.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/23/dr-m-pengerusikan-mesyuarat-kabinet-pertama/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/21/14-ahli-kabinet-dr-m-angkat-di-depan-agong/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/16/pelantikan-menteri-kabinet-akan-dipercepat-kata-dr-m/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/26/pkr-mungkin-dapat-paling-banyak-jawatan-dalam-kabinet/