Mahkamah tolak rayuan Tealive teruskan perniagaan

Terdapat 70 outlet Tealive yang beroperasi di seluruh negara termasuk 22 outlet di stesen minyak. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan pemilik jenama bubble tea Tealive, Loob Holding Sdn Bhd tidak boleh mendapat perintah penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang syarikat itu daripada menjalankan perniagaannya sama seperti Chatime kerana ia adalah kes salah laku sendiri.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer berkata aturan keadaan khas yang diguna pakai oleh Loob Holding untuk perintah penangguhan pelaksanaan, adalah tidak terpakai dalam kes salah laku sendiri.

Dalam penghakiman setebal 13 muka surat, Hakim Hamid Sultan berkata Loob Holding (bekas pemegang francais Chatime) melalui tindakannya sendiri dikatakan melanggar kontrak dan kewajiban statutori dan memperluaskan perniagaan atau meneruskan perniagaan dan menambah ini adalah kes salah laku yang disebabkan oleh diri sendiri.

Beliau berkata di bawah Perjanjian Francais dan Akta Francais 1998, Loob Holding, berdasarkan undang-undang dan di bawah kontrak, dilarang daripada menjalankan perniagaan yang sama yang bersaing dengan Chatime yang pemiliknya ialah syarikat dari Taiwan, La Kaffa International Co. Ltd.

“Dalam kes ini, secara luar biasa dan tidak mengendahkan sama sekali kewajipan kontrak serta kewajipan statutori, Loob Holding melalui tindakan semalaman menukar nama “Chatime” kepada Tealive” dan beroperasi di premis yang sama serta bersama kakitangan,” kata beliau.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan dalam penghakiman terdahulu mengambil perhatian tentang fakta yang tidak dipertikaikan bahawa Loob Holding mengendalikan perniagaan yang melanggar perlindungan statutori yang diberikan kepada La Kaffa.

“Mahkamah tidak sepatutnya memihak kepada pihak-pihak yang berdasarkan rekod dilihat sebagai penipu,” kata beliau.

“Mahkamah tidak sepatutnya memihak kepada pihak yang melalui tindakannya dianggap melanggar kewajipan kontrak serta kewajipan statutori dengan mengetahui dia mungkin menyebabkan kerugian kepada orang lain,” kata hakim.

Hakim Hamid Sultan berkata beliau berpendapat penghujahan oleh peguam yang mewakili Loob Holding bahawa La Kaffa boleh diberi pampasan dalam bentuk bayaran ganti rugi adalah bersifat penghinaan apabila undang-undang dengan tegas melarang syarikat itu daripada menjalankan perniagaan mengikut konsep itu dan mengandungi unsur jenayah kerana ia menyentuh seksyen-seksyen di bawah Kanun Keseksaan berkaitan penipuan.

“Hakim mengangkat sumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan (Persekutuan). Akibatnya, ia adalah bertentangan dengan kedaulatan undang-undang untuk mengabaikan perlindungan statutori yang memihak kepada La Kaffa,” kata beliau.

Loob Holding memohon perintah penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 27 Jun tahun ini untuk membenarkan rayuan La Kaffa International bagi injunksi untuk melarang syarikat tersebut daripada menjalankan perniagaan sementara menunggu permohonan kebenaran untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Semalam, Mahkamah Rayuan yang disidangi oleh Hakim Hamid Sultan, Datuk Dr Badariah Sahamid dan Datuk Rhodzariah Bujang, dalam keputusan majoriti, menolak permohonan Loob Holdings bagi penangguhan pelaksanaan perintah dengan kos RM15,000. Dalam itu, Hakim Rhodzariah menentang.

Pada 27 Jun tahun ini, panel 3 hakim Mahkamah Rayuan juga diketuai oleh Hakim Hamid Sultan membenarkan injunksi kepada La Kaffa terhadap Loob Holding daripada menjalankan perniagaan yang sama sebagai rantaian teh yang terkenal dengan bubble teas.

Mahkamah Tinggi tidak membuat keputusan yang memihak kepada La Kaffa.

Pertikaian antara La Kaffa dan Loob Holding bermula pada awal Disember 2016, apabila syarikat itu menamatkan perjanjian induk francais antara kedua-dua pihak walaupun tempoh perjanjian masih berbaki lebih 20 tahun.

Terdapat 70 outlet Tealive yang beroperasi di seluruh negara termasuk 22 outlet di stesen minyak.

Menurut laporan media yang memetik kenyataan oleh Loob Holding, syarikat itu mengarahkan peguamnya untuk memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan dan dimaklumkan permohonan itu difailkan semalam.