Syed Saddiq nafi lantik pejuang LGBT jadi pegawai khas kementerian

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan dakwaan beliau melantik seorang pejuang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk memegang jawatan di kementerian itu.

Beliau berkata sehingga kini belum ada seorang pun pegawai dilantik secara rasmi di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), termasuk setiausaha politik, setiausaha akhbar dan pegawai tugas-tugas khas.

“Saya masih lagi dalam proses menemu duga pegawai untuk berkhidmat di Pejabat Menteri Belia dan Sukan.

tangkap layar yang dikatakan laman Pejabat Menteri Belia dan Sukan yang memaparkan senarai nama pegawai baharu termasuk Numan Afifi.

“Saya tidak ingin tergesa-gesa dalam pelantikan jawatan kerana saya sedar mengetuai KBS adalah satu tanggungjawab yang besar,” katanya menerusi kiriman Facebook.

Sebelum ini timbul desas desus mengatakan menteri KBS yang baharu dilantik itu melantik Numan Afifi, presiden Kempen Pelangi, kumpulan yang mempromosikan kesetaraan untuk golongan LGBT sebagai pegawai khasnya di kementerian itu.

Disember lalu, Numan melepaskan jawatannya sebagai setiausaha publisiti Pemuda DAP selepas dikaitkan dengan penganjuran program “Iftar Gay” pada Jun tahun lalu.

“Saya lepaskan jawatan sebab tidak mahu timbul salah faham, sebab orang cuba kait dengan DAP. Jadi, saya tidak mahu salah faham itu berterusan,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata bagi mengangkat dan memartabatkan suara anak muda, beliau perlukan kumpulan anak muda yang terbaik dalam KBS.

“Terdapat permata yang tersembunyi di seluruh Malaysia, sebab itu saya mengambil pendirian untuk menerima CV dari sesiapa pun,” tambahnya.

Numan lepas semua jawatan DAP, elak parti terpalit kontroversi