Tutup sempadan kepada pelarian tak berperikemanusiaan, kata Dr M

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata sebagai negara kecil, Malaysia hanya boleh menyatakan pengeboman Syria adalah salah.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan sesetengah negara menutup sempadan mereka kepada pelarian sebagai tidak berperikemanusiaan.

Merujuk kepada isu pelarian Syria, beliau berkata Malaysia sentiasa bersikap ramah kepada pelarian yang datang ke negara ini.

“Sungguhpun jumlah pelarian ini terlalu besar, kita tetap menerima mereka atas sifat kemanusiaan. Kami berpendapat negara Eropah perlu mengotakan kata-kata mereka bahawa mereka bersimpati terhadap pelarian ini dan seterusnya membenarkan kumpulan ini memasuki negara mereka.

“Saya mendapat tahu ada sesetengah negara menutup sama sekali sempadan mereka kepada pelarian… (tindakan) itu tidak berperikemanusiaan,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Mengenai pengeboman di Syria, Dr Mahathir berkata sebagai sebuah negara yang kecil, Malaysia hanya boleh menyatakan tindakan itu salah.

“… terdapat negara lebih berkuasa yang mampu untuk menghentikan pengeboman itu tetapi mereka enggan melakukannya. Jadi, apa yang kita buat? Oleh kerana kita hanya sebuah negara kecil, kita suarakan pandangan kita,” katanya.