Ahli Parlimen Bentong, 14 lain didenda kerana berhimpun bantah Lynas

Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack (berbaju putih) dan 9 yang lain didenda RM1,500 atau penjara 30 hari kerana gagal mematuhi arahan polis supaya bersurai dalam perhimpunan di Gebeng pada 2014. (Gambar Facebook)

KUANTAN: Ahli Parlimen Bentong Wong Tack dan 14 yang lain, masing-masing didenda RM1,500 dan RM1,600 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas didapati bersalah menyertai perhimpunan haram bagi membantah pembinaan kilang Lynas Corporation Sdn Bhd (Lynas) di sini pada tahun 2014.

Hakim Datuk Unaizah Mohd membuat keputusan itu selepas berpuas hati pembelaan semua tertuduh yang diberikan secara bersumpah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan dihadapi mereka.

Beliau memutuskan Wong, 59, yang ketika kejadian ialah pengerusi Kumpulan Hijau dan 9 yang lain iaitu Raymond Ng Abdullah, 43, Rapar Ahmad, 48, Ta Weng Seng, 43, Hew Kuan Yau, 48, Lee Khai Ming, 41, Tan Chee Hooi, 43, Zamri Zonal,30, Thomas Wang, 59, dan Chong Kong Yuen, 69, didenda RM1,500 atau penjara 30 hari jika gagal membayar denda itu.

5 lagi tertuduh iaitu Phua Kia Yaw, 47, Wong Chee Wen, 48, Wong Chee Wai, 39, Foong Poh Choo, 40, dan Ho Kam Huat, 48, didenda RM1,600 atas kesalahan merempuh polis yang mahu menyuraikan perhimpunan itu, atau penjara 40 hari jika gagal menjelaskan denda itu.

Seorang lagi tertuduh Ho Kam Hua, seorang penoreh getah yang berhadapan tuduhan mencakar dan menyepak anggota polis didenda RM1,000 dan penjara 20 hari jika gagal membayar denda itu.

Semua tertuduh membayar denda itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 4 petang hingga 5.30 petang di Jalan Bandaran, Gebeng di sini pada 22 Jun 2014, mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan dan Seksyen 147 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seramai 23 saksi pihak pendakwaan dan 19 saksi pihak pembelaan termasuk seorang pakar kejuruteraan kimia dan pakar kesihatan awam memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

Terdahulu, peguam Mohd Haijan Omar yang mewakili semua tertuduh memohon mahkamah memberikan bon berkelakuan baik atau denda minimum dengan mengambil kira semua anak guamnya adalah pesalah pertama dan memberi kerjasama penuh sepanjang 4 tahun kes berjalan.

“Saya mohon mahkamah mengambil maklum bahawa Wong Tack baru dipilih sebagai Ahli Parlimen Bentong.

“Sabitan hari ini mungkin akan mendatangkan masalah kepadanya dan juga keputusan pilihan raya umum, selain tertuduh sendiri masih belum mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kejadian menyebabkan kesukaran kepada pihak polis, termasuk seorang anggota cedera.

“Mereka tidak mempunyai kebenaran berhimpun tapi polis masih memberi peluang dan keadaan huru-hara tercetus apabila tertuduh enggan mematuhi arahan bersurai walaupun diberikan masa 10 minit untuk berbuat demikian,” katanya.