Ahmadiah bukan Islam, Mahkamah Syariah tiada kuasa, kata Mujahid

Mujahid berkata, masyarakat Islam tidak perlu keliru atau masih membandingkan ajaran Islam dengan ajaran Ahmadiah kerana sudah jelas ajaran berkenaan terkeluar daripada Islam.

PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memihak kepada pengikut fahaman Ahmadiah bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak berhak menghalang dan mengambil tindakan ke atas mereka tidak seharusnya disalah ertikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf.

Beliau berkata keputusan itu adalah selari dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang digazetkan pada 1992 serta pindaan pada 2000 bahawa ajaran Ahmadiah bukan lagi sebahagian daripada Islam.

“Soalan paling utama dikeluarkan oleh mahkamah ialah sama ada Jais ada kuasa atau tidak untuk ambil tindakan kepada golongan Ahmadiah.

“Fatwa yang sudah digazetkan dan dipinda menyatakan dengan jelas golongan Ahmadiah sudah keluar daripada agama Islam dan bukan lagi dalam lingkungan agama Islam.

“Atas dasar ia bukan lagi Islam dan mengikut Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, jelas menyebut Mahkamah Syariah hanya untuk orang Islam sahaja,

“Atas sebab mereka bukan Islam, maka sebab itulah fahaman saya ke atas keputusan itu, maka sudah tentu Mahkamah Syariah tidak ada hak ke atas mereka,” katanya kepada FMT.

Semalam, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, membuat keputusan menyebelahi permohonan semakan oleh 39 pengikut fahaman itu atas dasar pihak berkuasa agama Islam di Selangor tidak mengiktiraf Ahmadiah sebagai orang Islam.

Mahkamah merujuk kepada fatwa yang diwartakan di Selangor pada 2001 yang mengisytiharkan pengikut ajaran itu sebagai sesat.

Disebabkan fatwa itu, maka Jais tidak memiliki bidang kuasa untuk menyiasat dan mendakwa mereka atas kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Islam Negeri.

Mujahid berkata, keputusan mahkamah itu tidak bermakna beliau memihak kepada pengikut ajaran Ahmadiah dan membenarkan fahaman itu disebarluaskan di seluruh negara.

“Ahmadiah mereka beroperasi di bawah Perkara 11 Perlembagaan, iaitu kebebasan beragama. Jadi di atas dasar itulah perkara ini perlu dilihat mengikut kerangka undang-undang yang ada.

“Saya bercakap atas dasar kerangka undang-undang. Ia tidak bermakna saya suka kepada mereka. Ia juga bukan bermakna saya katakan biarlah mereka lakukan apa sahaja.

Mujahid berkata, berikutan fatwa yang mengisytiharkan kesesatan ajaran Ahmadiah, kerajaan tidak akan membiarkan kumpulan itu mengelirukan orang ramai kerana mereka menggunakan nama Islam.

Pengikut Ahmadiah atau Qadiani, berbeza dalam beberapa perkara dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah, antaranya mempercayai pengasas fahaman itu, Mirza Ghulam Ahmad, sebagai Imam Mahdi.

Mujahid berkata, masyarakat Islam tidak perlu keliru atau masih membandingkan ajaran Islam dengan ajaran Ahmadiah kerana sudah jelas ajaran berkenaan terkeluar daripada Islam.

“Masyarakat perlu jelas, Ahmadiah bukan Islam. Mereka bukan beragama Islam. Tidak perlu terpengaruh, walaupun namanya Ahmadiah. Nama itu biarkan dia.

“Sebagai bukan Islam, dan menurut Perkara 11 mereka bebas mengamalkan kepercayaan sendiri, tetapi mengikut Ceraian (4) perkara yang sama, mereka dilarang mendakwah atau menyebarkan agama mereka kepada orang Islam,” katanya.

Ajaran Ahmadiah diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad pada 1889 di kampung kelahiran beliau bernama Qadian, di daerah Gurdaspur, Punjab, India. Beliau lahir pada 13 Februari 1835 dan meninggal dunia pada 26 Mei 1908 di Lahore, sebelum dipindahkan untuk dikuburkan di Qadian.

Nama beliau dan nama kampung kelahirannya, Qadian, kemudiannya digunakan sebagai nama bagi ajaran dan pengikut ajaran itu.

Mahkamah arah jabatan agama jangan ganggu Ahmadiah