Keputusan tingkat umur minimum perkahwinan dalam masa terdekat, kata Wan Azizah

Wan Azizah berkata, perkara ini adalah sejajar dengan manifesto Buku Harapan untuk menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi kedua-dua jantina. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan sedang memperhalusi cadangan meningkatkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Dr Wan Azizah, yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, berkata beberapa kementerian dan agensi kerajaan telah pun memulakan peranan masing-masing dalam mengkaji perkara berkenaan.

“Perkara ini adalah sejajar dengan manifesto Buku Harapan untuk menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi kedua-dua jantina,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sabtu lepas, berita perkahwinan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan warganegara Thailand berusia 11 tahun tular di media sosial.

Dr Wan Azizah sebelum ini dilaporkan berkata kes berkenaan diarah disiasat di bawah elemen “sexual grooming” yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan menganggap perkahwinan itu sebagai tidak sah selagi tiada bukti dikemukakan.

Dalam isu sama, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagaimanapun dilapor menyuarakan kekecewaan terhadap kerajaan yang dianggap tidak efektif dalam usaha penguatkuasaan usia minimum perkahwinan, selain membantah cadangan kerajaan membangunkan prosedur operasi standard (SOP) bagi perkahwinan di bawah umur.

Mengulas kenyataan Suhakam, Dr Wan Azizah berkata pihaknya mengambil maklum kebimbangan diutarakan pihak berkenaan, sambil menambah kementerian tidak mempunyai autoriti menyemak semula SOP sedia ada berkaitan kelulusan dan pengendalian urusan perkahwinan kanak-kanak kerana ia berada di luar bidang kuasa mereka.