Lantikan Numan Afifi ujian untuk PH tunai janji tak diskriminasi

Aktivis LGBT, Numan Afifi membantu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam hal berkaitan media. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kurang seminggu memulakan tugas barunya, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menjadi ikon “Malaysia baru” berdepan ujian pertama sebagai menteri paling muda dalam negara ini, atas pelantikan seorang aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Numan Afifi sebagai pegawai khasnya.

Pelantikan itu turut menjadi ujian kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), susulan janji gabungan itu menubuhkan suruhanjaya peluang pekerjaan saksama, iaitu menangani amalan pengambilan pekerja bersifat diskriminasi dan tidak adil di sektor awam serta swasta, kira-kira 2 bulan selepas merampas Putrajaya dari Barisan Nasional.

Tidak lama selepas Syed Saddiq mengangkat sumpah sebagai menteri, Numan memperkenalkan diri kepada wartawan dalam satu kumpulan WhatsApp sebagai pegawai medianya. Syed Saddiq turut berada dalam kumpulan itu.

Pelantikan Numan turut dikritik pengguna media sosial dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Ada mula mengkritik dan mempersoalkan Syed Saddiq mengambil Numan, presiden Kempen Pelangi yang menjadi tumpuan media kerana menganjurkan program “Iftar Gay” pada Jun 2017.

Program buka puasa itu dikecam beberapa pihak, termasuk pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz yang mendakwa penganjur mempermainkan hukum Allah.

Jumaat lalu, Syed Saddiq berkata, sehingga kini belum ada seorang pun pegawai dilantik secara rasmi di kementerian sebagai setiausaha politik, setiausaha akhbar dan pegawai tugas khas, walaupun laman web KBS menyenaraikan Numan sebagai pegawai khas menteri.

Cubaan FMT untuk menghubunginya bagi mendapat komen lanjut, gagal.

Sementara itu, Numan memberitahu FMT yang beliau hanya membantu menteri itu berhubung hal media sehingga setiausaha akhbarnya dilantik dan Syed Saddiq sedang mencari calon sesuai untuk menyertai pasukannya.

Syed Saddiq pula berdepan gesaan aktivis LGBT, parti politik dan seorang ahli Parlimen DAP, supaya tidak tunduk kepada tekanan atas pelantikan Numan.

Aktivis terkemuka, Pang Kee Teik berkata: “Kami mengundi PH kerana antara 5 manifestonya ialah janji untuk ‘membina sebuah negara inklusif dan sederhana’. Melepaskan Numan Afifi kerana kecenderungan seksualnya adalah pengkhianatan terhadap kami yang mempercayai janji ini”.

Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut meminta Syed Saddiq menghentikan amalan diskriminasi dan berpegang kepada janji PH untuk membentuk Malaysia yang inklusif.

“Jangan bermain permainan politik kerana ia menunjukkan PH sama dengan BN, terhadap mereka yang hilang kepercayaan dengannya. Berpegang kepada prinsip dalam keputusan anda,” kata Setiausaha Agung Pemuda PSM, Vennusha Priyaa dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula berkata, diskriminasi sistemik perlu dihentikan di bawah kerajaan baru.

“Saya menyuasakan solidariti dengan Numan dan meminta kerajaan memansuhkan semua undang-undang dan peraturan yang mendiskriminasi golongan itu,” kata wakil rakyat DAP itu.

Difahamkan, keputusan berhubung pelantikan Numan akan diketahui esok.