Tiada sebab untuk ekstradisi Zakir Naik, kata peguam

Peguam Zakir Naik, Shaharudin Ali berkata Bantuan Perundangan Bersama tidak termasuk dalam ekstradisi.

PETALING JAYA: Peguam Dr Zakir Naik mempertahankan keputusan kerajaan tidak mengekstradisi pendakwah kontroversi itu ke India kerana tiada keperluan untuk Malaysia memenuhi permintaan itu.

Shaharudin Ali bertegas Malaysia tidak melanggar perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) atau ekstradisi dengan India.

Katanya, MLA dengan jelas mengecualikan ekstradisi.

“Saya juga tidak bersetuju dengan tanggapan Malaysia perlu mengekstradisi sesiapa sahaja yang dinamakan negara pemohon secara membuta tuli,” katanya kepada FMT.

Semalam, peguam kanan jenayah, Datuk N Sivananthan menggesa kerajaan menghormati syarat perjanjian ekstradisi bersama India, dengan menghantar Zakir ke negara itu untuk berdepan dakwaan menyebarkan kebencian dan pembabitan dalam pengubahan wang serta aktiviti berkaitan keganasan.

Sivananthan yang merupakan rakyat Malaysia pertama menjadi peguam di Mahkamah Jenayah Antarabangsa memberitahu FMT, Tun Dr Mahathir Mohamad mengabaikan kewajipan undang-undang Malaysia apabila menyatakan Zakir boleh terus tinggal di negara ini.

Shaharuddin berkata, perjanjian ekstradisi Malaysia dan India berkuat kuasa jika dakwaan jenayah sudah difailkan di mahkamah India.

“Kami berulang kali kata kami belum nampak (kes itu difailkan di mahkamah) lagi.”

Shaharudin mendapati kerajaan Malaysia di bawah Barisan Nasional dahulu dan Pakatan Harapan kini, secara konsisten menolak permintaan India untuk menghantar Zakir pulang bagi berdepan pendakwaan.

“Ini tidak bermakna Malaysia tidak tahu kewajipan perjanjiannya,” katanya yang berpendapat dakwaan terhadap Zakir bersifat politik-agama.

Pada pandangannya, tidak salah dari sisi undang-undang untuk Malaysia tidak mengekstradisi Zakir, jika negara percaya permohonan India dibuat atas alasan politik atau jika kepulangan Zakir adalah tidak adil atau menindas.

“Kami sokong pendirian Dr Mahathir, nampaknya pendirian itu dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap bahan relevan yang dimiliki kerajaan.”

Jumaat lalu, Dr Mahathir berkata, Zakir ialah penduduk tetap di Malaysia dan kerajaan tidak akan mengusirnya “selagi beliau tidak menimbulkan masalah”.

Semalam, Zakir berjumpa dengan Dr Mahathir dalam satu pertemuan singkat yang tidak dijadualkan.