Usaha bawa keluar mangsa terperangkap dalam gua bermula

13 penyelam dari seluruh dunia dan 5 daripada unit SEAL Tentera Laut Diraja Thailand mula menyelam ke dalam gua berkenaan. (Gambar Reuters)

BANGKOK: Usaha membawa keluar 12 pemain bola sepak muda dan jurulatih mereka dari gua Tham Luang yang ditengelami air di wilayah Chiang Rai, utara Thailand bermula pada 10 pagi ini waktu tempatan dengan mangsa pertama dijangka dapat dibawa keluar pada jam 9 malam.

Menurut Gabenor Chiang Rai, Narongsak Osothanakorn, operasi yang disifatkan sebagai berisiko itu akan menyaksikan mangsa dibawa keluar seorang demi seorang.

“Operasi membawa keluar remaja lelaki terbabit bermula kira-kira 10 pagi tadi. Seramai 13 penyelam dari seluruh dunia dan 5 daripada unit SEAL Tentera Laut Diraja Thailand mula menyelam ke dalam gua berkenaan,” katanya pada sidang media di pusat pentadbiran daerah kecil Phongpha, kira-kira 2 kilometer dari gua itu hari ini.

Mangsa dikatakan sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk dibawa keluar. Masing-masing akan dibantu 2 penyelam berpengalaman bagi melepasi laluan dalam air yang berbahaya tersebut.

“Kesemua mereka telah dimaklumkan tentang operasi hari ini dan bersedia untuk keluar serta bertemu dengan kami, tidak kira apa yang perlu mereka hadapi (semasa operasi),” kata Narongsak yang menambah keadaan di dalam gua adalah baik.

Sementara itu, seorang komander tentera Thai di lokasi dilaporkan berkata usaha membawa keluar kesemua 13 mangsa dari kompleks gua Tham Luang yang luas dan dinaiki air itu akan mengambil masa dua hingga empat hari.

Kesemua 13 mangsa dari Akademi Bola Sepak “Mu Pa” (babi hutan) itu terperangkap di dalam gua yang terletak berhampiran sempadan Thai-Myanmar berkenaan sejak 13 Jun lalu dalam insiden yang menarik perhatian dunia.

Usaha membawa keluar remaja berusia 11 hingga 16 tahun terbabit serta jurulatih mereka yang berusia 25 tahun terpaksa dipercepat susulan musim monsun yang diramal bermula hari ini.

Musim monsun akan membawa hujan lebat di kawasan pergunungan tersebut dan akan menyebabkan paras air di dalam gua berkenaan naik, sekali gus mengancam keselamatan mangsa.