Peguam Shafee nafi kenakan bayaran RM2.4 juta kepada Najib

Muhammad Shafee Abdullah menyangkal dakwaan seorang pemimpin Umno yang beliau mengenakan yuran guaman RM2.4 juta kepada Datuk Seri Najib Razak. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyangkal dakwaan seorang pemimpin Umno beliau mengenakan bayaran RM2.4 juta untuk mewakili Datuk Seri Najib Razak yang berdepan 4 pertuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

“Kami belum membincangkan bayaran itu lagi,” kata peguam kanan ketika ditanya mengenai dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam.

Lokman dilaporkan berkata, tabung ditubuhkan ahli Umno untuk membantu Najib membayar ikat jamin RM1 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rabu lalu, tidak cukup untuk membayar yuran guaman yang beliau anggarkan kira-kira RM2.4 juta.

Shafee mengetuai pasukan pembelaan yang dibantu 5 peguam Harvinderjit Singh, Datuk Raj Krishnan, Farhan Read, Rahmat Hazlan dan Muhammad Farhan Shafee, manakala Peguam Negara, Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan seramai 12 orang.