Wawasan 2020 tidak dapat dicapai, kata Dr Mahathir

Dr Mahathir berkata, kakitangan kerajaan perlu mempunyai nilai ikhlas, amanah dan sifat usaha yang tinggi bagi mencapai Wawasan 2020 yang disasarkan.

PUTRAJAYA: Malaysia tidak akan mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 setelah bertahun-tahun mencuba ke arah itu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, Wawasan 2020 yang diperkenalkannnya tidak dapat dicapai apabila terdapat salah guna kuasa dalam pentadbiran terdahulu.

“Kita sudah perkenalkan Wawasan 2020, sedang berjalan ke arah itu tetapi apabila lupa akan kuasa dan tujuan, maka jalan itu akan terhenti. Sekarang ini, kita tidak percaya kita boleh capai matlamat itu.

“Kita tidak jadi maju pada 2020,” katanya sewaktu hadir dan memberi amanat di Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, hari ini.

Dr Mahathir berkata, kakitangan kerajaan perlu mempunyai nilai ikhlas, amanah dan sifat usaha yang tinggi bagi mencapai Wawasan 2020 yang disasarkan.

“Banyak tugas dan kerja yang perlu dibuat sebelum mencapai matlamat. Tetapi kalau tidak punyai niat yang baik, berpegang pada nilai yang mulia, maka segala cita-cita tidak akan tercapai,” katanya.

Tambahnya, kuasa yang diamanahkan rakyat kepada pemimpin tidak boleh disalah gunakan untuk kepentingan peribadi, kerana kuasa itu mempunyai matlamat khusus, iaitu menjayakan negara.

“Kuasa itu untuk membolehkan kita capai matlamat dengan tindakan tertentu, bukan untuk diri kita, perkayakan diri kita dan keluarga atau sahabat. Kuasa itu punyai matlamat khusus.

“Tuhan kurniakan kita pelbagai kebolehan, tuhan kurniakan kebolehan yang sama kepada semua, namun yang penting adalah bagaimana kita gunakan kebolehan yang diinginkan,” katanya.

Wawasan 2020 merupakan wawasan pembangunan negara diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad ketika pembentangan Rancangan Malaysia Keenam di Parlimen pada 1991.

Ia bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian dan maju sepenuhnya pada 2020, dengan 9 matlamat utama termasuk mewujudkan negara Malaysia bersatu yang dikongsi bersama, aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum; mewujudkan masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan akan keupayaan diri sendiri; membangunkan masyarakat demokratik yang matang; membina masyarakat bermoral dan beretika, dengan rakyat berpegang teguh kepada nilai agama dan kerohanian serta nilai etika tinggi; mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur dan mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif.

Wawasan 2020 juga bertujuan mewujudkan masyarakat penyayang dan berbudaya menyayangi, dengan sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri; masyarakat yang adil dalam ekonomi, dengan pengagihan kekayaan yang adil dan saksama; serta mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.