Barang kemas dirampas polis, Rosmah disaman tukang emas Lubnan

Rosmah Mansor mengakui secara bertulis menerima barang kemas tersebut tetapi tidak lagi dalam jagaannya kerana ia dirampas oleh pihak berkuasa.

PETALING JAYA: Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor disaman seorang tukang emas dari Lubnan berjumlah hampir RM60 juta selepas 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari, dirampas pihak berkuasa Mei lalu.

Malaysiakini yang memetik dokumen Global Royalty Trading (GRT) memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu.

Menurut laporan itu, antara barang kemas tersebut termasuklah kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, setiap 1 bernilai antara AS$124,000 (RM499,000) hingga AS$925,000 (RM3.7 juta).

Firma itu mendakwa Rosmah, dalam surat bertarikh 22 Mei, mengakui menerima barangan bersebut.

“Beliau mengakui secara bertulis mengenai penerimaan konsainan itu, tetapi tidak lagi dalam jagaannya kerana ia dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia,” menurut tuntutan itu.

Dalam tuntutannya, GRT memohon pengisytiharan mahkamah bahawa mereka adalah pemilik sah 44 unit barangan kemas tersebut.

Firma itu juga memohon perintah mandatori supaya barangan berkenaan dikembalikan atau secara alternatif, jika ia tidak dapat dipulangkan, Rosmah wajar membayar jumlah yang dinyatakan berdasarkan nilai barangan kemas tersebut.

Pengurusan kes mengenai tuntutan itu akan diadakan hari ini.

Firma yang berpangkalan di Beirut itu juga mendakwa Rosmah adalah pelanggan lama, dan syarikat itu menjual barangan kemas di seluruh dunia, termasuk kepada keluarga diraja.

GRT mendakwa sebelum ini, pihaknya menghantar barang kemas kepada Rosmah untuk dipilih dan dibeli serta dibayar olehnya atau oleh pihak ke-3. Manakala barang kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan.

Rosmah juga dikatakan meminjam barang kemas tersebut yang disertakan dengan memorandum penyerahan, dan dia atau ejennya akan menerima barangan itu di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai.

Pada Mei lalu, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga di sebuah kondominium mewah, dipercayai berkaitan dengan Datuk Seri Najib Razak dalam siasatan kes 1MDB.

Pada 27 Jun, polis berkata hasil pengiraan ke atas beg tangan berjenama, barang kemas dan wang tunai yang dirampas itu berjumlah RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Polis turut merampas 12,000 jenis barang kemas dalam 25 beg yang semuanya berjumlah RM440 juta, termasuk 1,400 utas rantai, 2,200 cincin, 2,100 gelang, 1,600 kerongsang, 2,800 pasang subang dan 14 tiara.

“Barang kemas termahal yang dirampas dari serbuan di premis berkaitan Najib ialah seutas rantai leher bernilai RM6.4 juta.”

Beliau berkata, harga itu hanya kos berlian dan emas yang tidak termasuk upah mereka bentuk dan pertukangan, di mana harga pasaran 50% hingga 100% melebihi harga kos dan ini bermakna angka sebenar mungkin berjumlah RM660 juta hingga RM880 juta.

Polis: Barang dirampas dari 6 premis dikaitkan Najib cecah RM1.1 bilion

5 lori, 284 kotak beg tangan, 72 beg wang tunai, dan 1 peti besi belum buka