ECRL jahanamkan ekosistem, NGO desak kerajaan batal terus

Shariffa (6 dari kiri) bersama wakil 12 NGO membantah kemusnahan akibat projek ECRL.

PETALING JAYA: Lebih 12 NGO diketuai Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendesak kerajaan membatalkan terus projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana projek berimpak tinggi itu akan menjejaskan 12 hutan simpan dan beratus-ratus anak sungai.

Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata kesan kemusnahan akibat projek itu akan menjejaskan kehidupan masyarakat setempat.

“Sekarang ini kita tidak nampak ketelusan projek ini…Kita tidak faham mengapa hendak diteruskan projek yang boleh menjahanamkan ekosistem ini dan membunuh banyak lagi hidupan liar,” katanya.

Pada 3 Julai lepas, pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia akan mempertimbangkan sama ada akan meneruskan projek ECRL yang dimulakan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak selepas merundingkan semula kos projek itu dengan kontraktor China.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kos laluan 690km dari Selangor ke Kelantan itu melambung hingga RM80 bilion dan projek itu akan berdaya maju dari segi kewangan dan ekonomi jika kontraktor, China Communications Construction Company (CCCC) bersetuju mengurangkan harga projek secara signifikan.

Semalam, kumpulan kecil daripada 12 NGO terbabit mengadakan tunjuk perasaan membantah pelaksanaan projek itu di tapak projek ECRL di Lentang Bentong, Pahang.

Shariffa bersama wakil 12 NGO menuju ke tapak projek Lentang Bentong.

Menurut beliau, pihaknya juga ada menghantar memorandum bantahan kepada Dr Mahathir.

“Ramai penduduk kampung yang akan terjejas dan ramai juga yang bantah,” kata Shariffa.

“Mereka ini bukan orang-orang kaya. Kenapa kita nak ambil tanah mereka? Lepas itu projek ini menjejaskan habitat dan merosakkan ekosistem. Kalau dah rosak kita tak boleh beli benda-benda ini semua. Khazanah alam tak boleh di beli,” katanya.

Beliau membidas cita-cita pembangunan yang tidak menitik beratkan pemeliharaan alam sekitar.

“Sekarang negara maju tengok alam sebagai agenda yang mesti dijaga tapi kita tidak. Kita terlampau membina pembangunan sampai setiap kilometer ada pusat membeli belah,” katanya.

Selain Peka, kerajaan Selangor juga dilaporkan membantah projek itu, terutama bagi laluan antara Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak hingga Pelabuhan Klang, kerana Selangor sedang memohon status Tapak Warisan Dunia Unesco bagi Klang Gates Quartz Ridge.