Gambar Najib di batu nisan, parti politik P Pinang lapor polis

PFP mendakwa kiriman Facebook itu menimbulkan marah masyarakat Cina.

GEORGE TOWN: Parti politik berpangkalan di Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis berhubung kiriman Facebook yang kini tersebar menunjukkan gambar bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ditindih pada batu nisan.

Ahli Pemuda Penang Front Party (PFP) Eagen Teoh Kean Liang berkata masyarakat Cina menganggap tindakan sedemikian sebagai kutukan dan menghina keluarga bekas perdana menteri.

“Masyarakat Cina tidak boleh menerima tindakan ini sama sekali, walaupun ia bermaksud sebagai gurauan. Ini boleh menyebabkan ketegangan hubungan kaum. Menerusi kiriman tersebut, tertulis jika anda telah mendermakan kepada orang mati itu, merujuk kepada Najib.

“Saya yakin kita semua belajar pendidikan moral, kita diajar untuk menghormati semua orang, tanpa mengira apa yang telah mereka lakukan.

“Netizen tidak boleh menggunakan cara ini untuk membuli dan mengutuk seperti ini, tidak kira sama ada dia bekas perdana menteri atau orang lain,” kata Teoh di luar balai polis Patani Road.

Beliau membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa menyiasat individu yang membuat kiriman Facebook tersebut.

Dalam lampiran yang diberikan kepada pemberita oleh ahli PFP, kiriman Facebook itu dibuat oleh “Liew Yi” menunjukkan gambar Najib diubahsuai dan ditampal ke batu nisan, disertakan colok dan makanan sebagai persembahan.

Perkataan “Mati 2018” dan “Lahir 1953” kelihatan di bawah gambarnya. Keterangan gambar tertulis: “Hari ini, saya menyumbangkan wang kepada ayam. Adakah anda menyumbang? ”

Liew Yi berkongsi gambar itu yang dihantar ke kumpulan pro-Pakatan Harapan yang dikenali sebagai “Kerajaan baharu harapan baharu”, kumpulan awam berbahasa Cina di Facebook dengan lebih 13,000 ahli.

Jurucakap polis berkata laporan itu diterima dan perkara itu akan disiasat.