Suhakam kritik peletakan jawatan aktivis LGBT di KBS

Aktivis LGBT Numan Afifi (Gambar Instagram)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini mengkritik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana memberi tekanan awam dan membiarkan seorang setiausaha akhbar sementara yang juga aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) meletak jawatan.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata peletakan jawatan Numan Afifi yang disebabkan aktivisme LGBT atau orientasi seksualnya yang “sangat mengganggu”, padahal Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan memberikan kesamarataan untuk semua warganegara.

Numan yang meletak jawatan sebagai setiausaha akhbar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman pada 9 Julai berkata: “Kecaman dan ancaman hebat oleh ejen propaganda pembangkang menyebabkan mustahil untuk saya menjalankan amanah yang diberi. Justeru saya mengambil keputusan tidak bertugas secara rasmi di kementerian.

Razali berkata malangnya, kementerian terbabit tidak “tidak memegang prinsip” dalam perkara itu “apabila ia seharusnya menilai pegawai tersebut dari segi kemahiran, kelayakan dan keupayaan untuk menyumbang kepada kementerian dan negara kita”.

“Pegawai itu sebaliknya dianggap tidak layak bagi jawatan yang hanya berdasarkan orientasi seksualnya, yang merupakan ciri yang tidak relevan dengan prestasi kerja.”

Beliau berkata Suhakam bimbang perkara ini mungkin kes diskriminasi di tempat kerja yang “kelihatan akan berterusan di sektor awam dan swasta, dan mengakibatkan tiada jaminan pekerjaan untuk golongan LGBT, menjadikan mereka sukar untuk menyediakan diri dan tanggungan mereka”.

Razali berkata Suhakam juga menerima aduan daripada komuniti LGBT berhubung pelanggaran hak asasi manusia, termasuk gangguan dan layanan buruk, serangan seksual, dinafikan peluang pekerjaan dan pendidikan serta rawatan perubatan, malah diskriminasi di tempat kerja.

Katanya, beliau kesal “peninggalan masa lalu masih berlarutan dalam kalangan pemimpin baharu, termasuk yang masih muda dan berharap kerajaan baharu akan mencari jalan untuk meningkatkan rasa prihatin bagi melindungi komuniti yang paling mudah dianiaya itu dan memberi peluang kepada semua orang memegang prinsip persamaan tanpa diskriminasi”.

Pengguna media sosial, termasuk ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam, dan beberapa penceramah, mengkritik Syed Saddiq kerana melantik Numan yang dikaitkan dengan penganjuran “Iftar Gay” Jun lalu sebagai setiausaha akhbarnya.

Syed Saddiq kemudian berkata, sehingga kini belum ada seorang pun pegawai dilantik secara rasmi di kementerian sama ada sebagai setiausaha politik, setiausaha akhbar dan pegawai tugas khas.

Sementara itu, Numan memberitahu FMT yang beliau hanya membantu menteri itu berhubung hal media sehingga setiausaha akhbarnya dilantik dan Syed Saddiq sedang mencari calon sesuai untuk menyertai pasukannya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/09/pegawai-khas-syed-saddiq-dikaitkan-sokong-aktviti-tidak-bermoral-lepas-jawatan/