Umno saran iktiraf UEC dengan syarat kepujian dalam BM

Datuk Seri Mahdzir Khalid. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno menyarankan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mengambil kira 2 syarat am, antaranya “Kepujian” dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Naib Presiden Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata penyokong UEC haruslah memenuhi keperluan memupuk perpaduan negara melalui penguasaan bahasa kebangsaan, serta lulus mata pelajaran sejarah.

“Semua sistem berkaitan pendidikan yang hendak dilaksanakan di negara ini perlu berlandaskan dasar pendidikan kebangsaan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pendidikan 1996,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahdzir berkata Umno berpegang pada pendirian itu dan kerajaan Barisan Nasional memberi kelonggaran kepada lepasan UEC memasuki Institut Pendidikan Guru, “namun tetap dengan syarat am ‘Kepujian’ dalam BM dan ‘Lulus’ Sejarah” dalam SPM serta untuk mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan sahaja.

UEC adalah peperiksaan seragam di 60 sekolah menengah Cina swasta sejak 1975. Sukatan pelajarannya dibangunkan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Lepasan UEC tidak boleh melanjutkan pelajaran di universiti awam dan bekerja di sektor awam kerana tidak diiktiraf kerajaan persekutuan.

Setakat ini, hanya kerajaan Sarawak mengiktiraf sijil itu, yang juga membolehkan lepasan UEC memohon pinjaman pendidikan dari Yayasan Sarawak.

Selangor pula menerima lepasan UEC ke institusi pengajian tinggi milik negeri manakala Pulau Pinang pula menerima lepasan UEC bekerja di syarikat milik kerajaan negeri.

Sebelum ini, Pemuda Umno membantah cadangan mengiktiraf UEC sebagai antara syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengiktirafan UEC akan meletakkan indentiti pendidikan negara dalam keadaan bercelaru.

Malaysia bercelaru jika iktiraf UEC, kata Pemuda Umno