Tommy pendakwa raya terbaik untuk kes Najib, kata peguam

Tommy Thomas dikritik beberapa pihak mengatakan peranannya sebagai ketua pendakwaan dalam kes Najib Razak akan membawa kepada konflik berkepentingan.

GEORGE TOWN: Seorang peguam mempertahankan peranan Peguam Negara Tommy Thomas sebagai pendakwa raya dalam kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berikutan kritikan peguam lain yang mengatakan tindakan itu akan menyebabkan konflik berkepentingan.

Datuk N Sivananthan memberitahu Tommy supaya menjauhi kes itu, dengan mengatakan peranannya sebagai Peguam Negara dan pendakwa raya akan ditafsir sebagai pertembungan kepentingan.

Sivananthan juga berkata ini bertentangan dengan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) yang mahu memisahkan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya.

Tetapi Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer berkata peranan Tommy sebagai pendakwa raya dalam kes Najib adalah bersesuaian kerana Peguam Negara itu tidak terlibat dalam parti politik dan mempunyai reputasi yang tidak diketahui dalam golongan peguam.

Rayer berkata penglibatan Thomas sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes itu tidak bertentangan dengan Aturan Profesion Guaman (Amalan dan Etika) 1978.

“Kecuali Sivananthan boleh merujuk kepada mana-mana keadaan tertentu di mana Tommy didakwa membuat kenyataan penilaian awal terhadap Najib dan isu 1MDB pada masa lalu, tidak ada sebab Tommy ditolak daripada pasukan pendakwaan.

“Perlu diingatkan bahawa peguam-peguam, dari semasa ke semasa, dipanggil untuk memberi pandangan mengenai sesuatu kes. Tetapi pandangan itu tidak sepatutnya dianggap sebagai alasan untuk menolak seorang peguam daripada pasukan pendakwaan,” kata Rayer kepada FMT.

Rayer merujuk kepada kenyataan peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah, yang mengatakan Thomas membuat “penilaian awal” sebelum menjadi Peguam Negara dan oleh itu beliau perlu dihalang daripada mendakwa kes itu.

Rayer juga menafikan PH berjanji untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya dalam manifesto pilihan rayanya.

“Tiada janji seperti itu dibuat dalam manifesto. Kami berjanji untuk memisahkan peranan eksekutif dan badan kehakiman.

“Tetapi harus diingatkan bahawa Peguam Negara bertanggungjawab kepada Parlimen, bukan eksekutif,” tambahnya.

“Tidak seperti bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang bukan lagi rahsia mempunyai hubungan dengan Umno, Thomas bukan ahli PKR, DAP, Amanah atau PPBM.

Rabu lepas, Najib didakwa dengan 3 tuduhan pecah amanah jenayah dan 1 penyalahgunaan kuasa berhubung berhubung wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dikatakan dipindahkan ke akuan peribadinya.

Najib memfailkan 3 sivil kira-kira 2 minggu lalu, mendakwa Thomas, Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh kerana bersikap prejudis terhadapnya sepanjang siasatan dilakukan dan melalui kenyataan yang dikeluarkan mereka.