
BUTTERWORTH: Tiga kamera litar tertutup (CCTV) merekodkan pergerakan M Vasanthapiriya, 14, yang dituduh mencuri telefon bimbit gurunya di SMK Methodist di Nibong Tebal pada hari kejadian.
Tiga CCTV itu terletak di kawasan pelajar menunggu, di depan pejabat sekolah dan di depan makmal sains, kata guru disiplin, Abu Salman Abdul Aziz.
Hakim Norsalha Hamzah, Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim dan JG Kameni melawat sekolah itu hari ini sebagai sebahagian prosiding inkues berhubung kematian pelajar berusia 14 tahun itu, yang meninggal dunia di hospital selepas dipercayai menggantung diri di rumahnya.
Kumpulan itu melawat kawasan menunggu, depan pejabat dan makmal sains.
“Kami meneliti rakaman yang dirakam CCTV dan juga mengkaji susun atur sekolah untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai pergerakan gadis itu pada hari kejadian.
“Rakaman ini tidak jelas, tetapi ia membantu kita memahami kes itu dengan lebih baik,” kata Yusaini selepas melawat lokasi kejadian di sekolah itu hari ini.
Pada 17 Januari, seorang guru menuduh pelajar SMK Methodist Nibong Tebal mencuri iPhone 6 miliknya.
Guru itu didakwa mengurung Vasanthapiriya di pejabatnya dan mengancam untuk membuat laporan polis jika dia tidak mengaku mengambil telefon tersebut.
Vasanthapiriya kemudiannya dikurung selama 5 jam tanpa dibenarkan rehat.
Guru terbabit dan suaminya kemudian membawa pulang gadis itu ke rumahnya dan bertemu dengan ibu bapa pelajar tersebut. Ketika itu Vasanthapiriya menggantung dirinya dengan selendang di biliknya.
Dia meninggalkan nota yang tertulis: “Saya tidak mencuri telefon kamu, cikgu.”
Vasanthapiriya dikejarkan ke hospital dan berada dalam keadaan koma hampir seminggu. Dia meninggal dunia pada jam 3.30 pagi, 1 Februari.