E-panggilan: Warga teksi anjur perhimpunan aman bantah menteri

Perhimpunan tanpa penganjur itu membantah sikap Anthony yang dianggap terlalu bergantung kepada laporan SPAD dan tidak mampu menubuhkan sebuah badan khas bagi mengenal pasti masalah serta mencari jalan penyelesaian. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Warga teksi dijangka mengadakan satu perhimpunan aman di pekarangan Parlimen Isnin depan bagi membantah sikap Menteri Pengakutan, Anthony Loke, yang dikatakan mengamalkan budaya pemerintahan Barisan Nasional dalam membuat keputusan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Persim), Kamarudin Mohd Hussain dalam kenyataannya kepada FMT hari ini berkata, menteri dilihat tidak sensitif dengan masalah dalam industri teksi kerana gagal mengadakan perbincangan awal dengan wakil persatuan bagi memahami masalah dan mencari penyelesaian.

Sebaliknya kata beliau, Anthony bertindak mengekalkan pegawai SPAD yang selama ini tidak mampu membawa pembaharuan dalam industri tersebut.

“Beliau mengekalkan pegawai SPAD yang jelas selama ini tidak mampu membawa sebarang pembaharuan, malah menggunapakai laporan SPAD zaman pemerintahan kerajaan BN,” kata beliau.

Kata beliau, tindakan Anthony itu bukan sahaja tidak memuaskan hati warga teksi, malah membuka ruang kepada pihak yang melanggar undang-undang untuk merasa diri mereka berhak mempertikaikan keputusan Kementerian Pengangkutan.

Beliau berkata, menteri pengangkutan sepatutnya menemui warga teksi dan mengadakan perbincangan agar keputusan dibuat lebih dihormati dan tidak merugikan mana-mana pihak, sama ada pemandu teksi konvensional atau penyedia khidmat e-panggilan.

“Sepatutnya beliau adakan perbincangan dengan kami agar keputusan dibuat lebih dihormati. Kami bukan mahu ‘e-hailing’ diharamkan kerana kami faham dasar kerajaan Pakatan Harapan yang tidak akan membuat keputusan yang hanya menyelesaikan masalah satu pihak tetapi menimbulkan ketidakadilan kepada pihak lain,” kata beliau.

“Tetapi sekarang keputusan yang dibuat menteri benar-benar menimbulkan ketidakpuasan hati semua pihak, termasuk pemandu kereta ‘e-hailing’,” tambah beliau.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/26/persatuan-teksi-di-sabah-mahu-grab-dikenakan-syarat-sama/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/10/05/pemandu-teksi-mahu-tunjuk-perasaan-bantah-uber-grab/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/08/14/mb-pahang-pendapatan-pemandu-teksi-kurang-30-akibat-uber-grab/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/04/13/najib-pemandu-e-hailing-wajib-ikut-peraturan-sama-seperti-teksi/