Jabatan Peguam Negara akan kaji semua dakwaan hasutan

PUTRAJAYA: Semua pertuduhan hasutan terhadap tertuduh akan dikaji semula, dengan syarat ada bantahan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, kata seorang peguam kerajaan.

Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, buat masa ini, kira-kira 10 kes akan dikaji semula.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata kajian itu akan dilakukan berdasarkan bukti dan dasar kerajaan baru Pakatan Harapan.

“Kami akan kaji semula jika ada bantahan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya selepas memohon penangguhan daripada Mahkamah Rayuan dalam rayuan hasutan bekas ahli Parlimen Padang Serai dan peguam, N Surendran.

Wan Shaharuddin berkata, buat masa ini, kira-kira 10 kes akan dikaji semula.

Hari ini, panel 3 hakim Mahkamah rayuan yang diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid menetapkan pengurusan kes Surendran pada 13 Ogos sementara menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara.

Peguam, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Surendran, berkata beliau akan membuat bantahan kepada Jabatan Peguam Negara apabila tiba masanya.

“Tuduhan terhadapnya adalah remeh dan menyusahkan. Bekas ketua polis negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) nampak individu menghasut di sebalik setiap semak. Saya agak marah.”

Sri Ram berkata, Surendran sebagai peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekadar menyuarakan pandangannya, ada konspirasi untuk mendakwa bekas ketua pembangkang itu dengan salah laku seksual.

Surendran didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan pada Ogos 2014 kerana mengulas sebuah video YouTube mengkritik Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan berlaku konspirasi politik terhadap bekas ketua pembangkang itu yang disabitkan bersalah kerana meliwat.

Surendran kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk merujuk 3 soalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan merujuk perkara itu kepada mahkamah tertinggi atas alasan soalan itu sudah dijawab dalam kes Prof Azmi Sharom mencabar Akta Hasutan.

Tiga soalan itu ialah sama ada Akta Hasutan berperlembagaan, akta itu bercanggah Perkara 5, 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan serta niat tidak relevan adalah tidak berperlembagaan.

Surendran diarah dibicarakan di Mahkamah Sesyen, tetapi beliau sebaliknya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.