Pengguna diminta guna aplikasi banding harga barang

Saifuddin berkata pengguna boleh membuat keputusan bijak dengan aplikasi ‘Price Catcher’.

GEORGE TOWN: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan pengguna membeli belah dengan bijak menggunakan aplikasi perbandingan harga yang kurang dimanfaatkan.

Aplikasi itu tersedia sejak tahun lepas tetapi hanya dimuat turun 40,000 kali, kata Saifuddin pada sidang media di majlis rumah terbuka Aidilfitri hari ini.

“Dengan aplikasi ini kita boleh pantau sama ada kenaikan harga berlaku. Saya ajak rakyat masuk, akses dan muat turun aplikasi ini, dan banding harga di pasaraya,” katanya.

Aplikasi “Price Catcher” itu membolehkan pengguna membandingkan harga 417 barangan sebelum membeli belah.

Mereka yang berdaftar sebagai “Friends KPDNKK” juga boleh daftar masuk ke aplikasi itu yang tersedia untuk platform iOS dan Android.

Saifuddin berkata kementerian mempunyai 1,044 pemantau harga yang bekerja secara sepenuh masa, dan mereka berada di lapangan mengemaskini perubahan harga barangan setiap hari.

“Jadilah pengguna bijak. Daftar masuk ke e-aduan agar penguatkuasa kami boleh ambil tindakan jika ada kesalahan dilakukan.

“Mereka perlu mengadu jika mahu kami bertindak. Mereka boleh berhubung terus dengan kami.

“Tugas saya ialah memastikan bekalan makanan mencukupi dan pada harga yang munasabah. Ini boleh dicapai dengan amalan perniagaan beretika di pihak peniaga dan pengguna yang bijak,” tambahnya.