Kerajaan PH perlu benar RUU355 dibahaskan di Parlimen, kata PAS

Takiyuddin yang juga seorang peguam berkata, usul berkenaan tidak perlu dibawa sekali lagi kerana ia telah dibawa dan separuh dibahaskan oleh Parlimen lepas.

PETALING JAYA: PAS hari ini mendesak kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya membenarkan usul Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU 355 terus dibahaskan untuk bacaan kali pertama di Parlimen yang akan bermula minggu hadapan.

Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan perlu membenarkan usul berkenaan dibahaskan di Parlimen.

“Kerajaan sekarang semasa menjadi pembangkang dahulu mereka tidak bersetuju usul ini dibahaskan, tak tahulah apa sebabnya.

“Sekarang ini apabila mereka ada majoriti, mereka perlu bawa, beri peluang untuk dibahaskan, lepas itu undi. Kalau tak lulus, tak luluslah,” katanya ketika dihubungi FMT.

Mesyuarat pertama persidangan Parlimen ke-14 akan bermula Isnin depan dan bakal berlangsung selama 20 hari dari 16 Julai hingga 16 Ogos ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga seorang peguam berkata, usul berkenaan tidak perlu dibawa sekali lagi kerana ia telah dibawa dan separuh dibahaskan oleh Parlimen lepas.

“Saya berpandangan oleh kerana perkara ini telah separuh dibahaskan dan belum selesai lagi, ia patut diteruskan,” tegasnya.

Mengulas mengenai calon ketua pembangkang, Takiyuddin berkata, PAS dan Umno akan membincangkan perkara itu dalam masa satu atau 2 hari ini.

“Tapi pada dasarnya kita telah beri pandangan bahawa dari segi amalan ketua pembangkang adalah milik parti yang mempunyai paling banyak kerusi dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

“Sekarang ini Umno mereka mempunyai 51 kerusi, termasuk MIC, MCA. Kita tak ada halangan jika BN nak (jadi) ketua pembangkang. Memang wajar, hak dia,” katanya.