Peserta PD triathlon lemas, hilang

Seorang lagi peserta triathlon, Tharm Wei Wong (kanan) dikhuatiri hilang ketika menyertai acara renang hasil daripada makluman awal penganjur. (Gambar Facebook)

PORT DICKSON: Seorang peserta Port Dickson International Triathlon lemas ketika menyertai acara tahunan itu, pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson DSP Mohd Faisal Mohd Noor dalam kenyataan berkata Tharm Wei Wong, 39, berasal dari Pulau Pinang lemas semasa berenang di pantai Port Dickson ketika menyertai acara renang.

“Mangsa berenang dari garis permulaan menuju ke pantai untuk meneruskan acara yang seterusnya iaitu acara berbasikal. Jarak antara permulaan acara renang ke pantai lebih kurang 750 meter.

“Semasa berenang, mangsa dipercayai lemas. Anggota bomba memberi bantuan kecemasan dan bantuan penafasan dari mulut ke mulut (CPR) namun mangsa tidak memberi sebarang tindak balas,” katanya.

Beliau berkata mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk menerima rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata seorang lagi peserta triathlon dikhuatiri hilang ketika menyertai acara renang hasil daripada makluman awal penganjur.

“Pada 11.55 pagi ini, penganjur melaporkan seorang lagi peserta tidak melaporkan kepada urusetia…jadi selepas menerima (laporan) kita telah gerakkan pasukan mencari dan menyelamat.

“Individu ini kita kenal pasti warganegara Hong Kong bernama Yuen Chi Yuen berumur 42 tahun. Setakat ini Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA), Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) bersedia untuk mencari dan menyelamat,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata sebarang makluman atau pengesahan lanjut berkaitan operasi ini akan dibuat oleh pihak polis.