Pelajar UiTM berborak di telefon maut jatuh bangunan

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

SEPANG: Seorang penuntut lelaki Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil maut setelah terjatuh dari tingkat 4 bangunan asrama institusi itu malam semalam (15 Julai).

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata pelajar jurusan Sains berusia 18 tahun itu dipercayai tergelincir ketika duduk di atas palang balkoni bilik asrama di tingkat 4 semasa bercakap di telefon dalam insiden 11.32 malam.

“Tiada kesan unsur jenayah dalam kejadian ini,” katanya, sambil menambah mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Abdul Aziz berkata walaupun kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), siasatan masih diteruskan.