Tealive dibenar beroperasi seperti biasa

Loob Holding berkata peguamnya akan terus mengendalikan hal mahkamah sehingga resolusi akhir. (Gambar facebook)

KUALA LUMPUR: Pemilik jenama bubble tea, Tealive, Loob Holding Sdn Bhd mengumumkan semua cawangan Tealive akan beroperasi seperti biasa.

Loob Holding dalam satu kenyataan berkata peguam syarikat itu memaklumkan Mahkamah Persekutuan pada hari ini membenarkan permohonannya untuk menangguhkan perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 27 Jun.

“Bagi pihak Tealive, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas kepercayaan dan sokongan mereka yang berterusan. Peguam-peguam kami akan terus mengendalikan hal mahkamah sehingga resolusi akhir,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bryan Loo.

Pada 27 Jun 2018, Mahkamah Rayuan membenarkan injunksi syarikat Taiwan, La Kaffa International Co Ltd terhadap Loob Holding daripada menjalankan perniagaan minuman teh tersebut.

Pertikaian antara Loob Holding dan La Kaffa bermula pada awal Disember 2016 apabila syarikat Taiwan itu menamatkan perjanjian francais induk di antara kedua belah pihak walaupun masih ada baki 20 tahun dalam perjanjian itu.

Mahkamah tolak rayuan Tealive teruskan perniagaan