Tanah Orang Asli: Jangan hukum kerajaan negeri, kata Mohd Amar

Mohd Amar Nik Abdullah berkata exco tiada kuasa mutlak meluluskannya kerana perlu berpandukan kertas kerja yang disediakan PTG. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Timbalan Menter Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini menyangkal dakwaan yang mengatakan kerajaan Kelantan bertindak tidak aktif dalam proses mewartakan tanah rizab Orang Asli di negeri itu.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan kerajaan negeri tidak mahu memberi kerjasama berhubung isu tersebut.

“Tanah rizab Orang Asli ni ada yang sudah kita wartakan, ada yang belum. Sebab mengapa ia tidak diwartakan, saya tidak berhak memberikan komen sebaliknya pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan lebih arif mengenainya.

“Kita (Exco) bukan ada kuasa mutlak untuk meluluskan semuanya, kena berpandukan juga kertas kerja yang disediakan PTG selaku pihak yang mengendalikan perkara itu,” katanya ketika dihubungi FMT.

Mohd Amar berkata demikian bagi menjawab status terkini tanah rizab orang Asli di Kelantan yang masih belum diwartakan berbanding negeri-negeri lain yang sudah selesai berbuat demikian pada akhir tahun lalu.

Semalam, Pengerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Ajis Sitin berkata, Kelantan kekal satu-satunya negeri yang belum mewartakan tanah rizab seluas 5,142.73 hektar.

Mac lalu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dilaporkan selesai mengukur semua tanah rizab masyarakat Orang Asli di seluruh negara seluas 132,631.04 hektar pada tahun lalu, sebelum menyerahkan kepada kerajaan negeri masing-masing untuk diwartakan.

Jakoa: Hanya tanah rizab Orang Asli Kelantan belum diwartakan