‘Wan Azizah akan jawab isu nikah bawah umur di Parlimen’

Hannah Yeoh berkata, menterinya Wan Azizah Wan Ismail akan mengkaji isu perkahwinan kanak-kanak yang dibangkitkan pelbagai pihak, termasuk G25.

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjawab isu perkahwinan kanak-kanak di Parlimen, kata Hannah Yeoh.

Timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu merujuk gesaan kumpulan bekas penjawat awam, G25 supaya kerajaan menggubal undang-undang bagi memastikan perkahwinan kanak-kanak dijadikan jenayah persekutuan.

Yeoh yakin isu perkahwinan bawah umur akan dibangkitkan dalam sidang Parlimen yang bermula esok hingga 16 Ogos nanti.

“Saya percaya isu ini sekarang hangat dan saya yakin ia akan dibangkitkan di Parlimen.

“Biar menteri (Wan Azizah) jawab, menteri akan melihat perkara ini,” katanya selepas menghadiri pameran mekanikal dan elektrikal di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Isu perkahwinan bawah umur hangat dibincangkan baru-baru ini, selepas Che Abdul Karim Che Abdul Hamid, 41, mengahwini seorang kanak-kanak warga Thailand berusia 11 tahun, Masaryu Mat Rashid di Sungai Golok, pada 18 Jun lalu.

Peraih getah sekerap dari Gua Musang, Kelantan itu mengakui sebelum bernikah dengan isteri ketiganya, beliau terlebih dahulu meminta kebenaran ibu bapa kanak-kanak itu dengan syarat mereka nikah gantung terlebih dahulu dan akan tunggu 5 tahun untuk tinggal bersama.

Majlis Agama Islam Narathiwat mendapati pernikahan pasangan itu dilakukan seorang imam di Kampung Padang Nyor, Mukim Munok, Sungai Golok di Narathiwat, tanpa kebenaran pihak berkuasa agama wilayah itu dan perkahwinan itu belum didaftarkan dengan Majlis Agama Islam Narathiwat.

Pada 9 Julai lalu, Karim didenda Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang sebanyak RM1,800 selepas mengaku bersalah terhadap 2 pertuduhan, iaitu berkahwin serta berpoligami tanpa kebenaran.

Di Malaysia, mengikut Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki berkahwin ialah 18 tahun dan 16 tahun bagi perempuan. Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan dengan kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka.

Bagi orang bukan Islam, mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun. Andainya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ketua menteri dan mahkamah.

Semalam, G25 dalam satu kenyataan berkata, undang-undang sama rata perlu dilaksanakan ke atas semua rakyat Malaysia tanpa pengecualian.

Kumpulan itu kecewa dengan tindakan Wan Azizah melepas tangan dan menyerahkan tanggungjawab kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa supaya kerajaan negeri boleh menggubal undang-undang bagi menjadikan perkahwinan bawah umur haram.

G25 berkata, tiada jaminan setiap negeri akan mematuhi arahan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana Islam ialah urusan negeri.