Marina: Persekitaran tak mesra punca gagal capai 30% wanita dalam Kabinet

Marina Mahathir berkata, wanita hanya dipergunakan dunia politik dan jarang diiktiraf sebagai wakil masyarakat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir berkata, kebimbangan terhadap persekitaran tidak mesra dalam politik tempatan ialah punca 30% jawatan Kabinet untuk wanita gagal dicapai seperti dijanjikan Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan rayanya.

Beliau yang menjangkakan sasaran itu sukar dicapai sejak awal lagi, memberi contoh Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid menerima ugutan bunuh di pusat khidmatnya di Gelugor, Pulau Pinang, pada 10 Julai lalu.

“Tengok apa yang jadi kepada Syerleena. Pencapaiannya dalam politik tempatan tidak diiktiraf, bahkan diugut dengan segala bentuk serangan agresif.

“Tidak hairan kalau bilangan wanita di peringkat pencalonan sangat rendah, mereka (wanita) mungkin khuatir dengan keadaan politik yang diselubungi persekitaran tidak mesra,” katanya ketika dihubungi FMT.

Syerleena dilaporkan berkata, nota ugutan itu dijumpai dalam timbunan surat di peti surat pusat khidmatnya pada 3.30 petang, sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jelutong pada 7 malam hari sama.

Katanya, beliau tidak tahu motif nota itu dihantar dan tidak menolak kemungkinan ia berkaitan fitnah terhadapnya yang tersebar di Facebook sejak Mac 2017, mendakwa beliau akan menyerang institusi Islam, khasnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) demi DAP.

Beliau menyangkal fitnah itu dan ia timbul semula April lalu, sebelum pilihan raya umum ke-14.

Marina berkata, wanita hanya dipergunakan dunia politik dan jarang diiktiraf sebagai wakil masyarakat.

“Wanita hanya diperlukan untuk menjalankan pilihan raya dengan tugas-tugas mereka, tetapi jarang sekali kewujudan mereka diiktiraf.

“Pendek kata, apabila perempuan berada dalam ruangan awam mereka mudah diserang dengan segala bentuk keganasan, terutama sekali apabila dia seorang Melayu dan Muslim.”

Kerajaan pimpinan PH mempunyai 27 menteri dan 23 timbalan menteri, di mana 5 wanita dilantik sebagai menteri dan 4 timbalan menteri.

Mereka adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Rina Harun, Zuraida Kamaruddin, Teresa Kok, Yeo Bee Yin, Fuziah Salleh, Hannah Yeoh, Teo Nie Ching dan Isnaraissah Munirah Majlis.

Adun P Pinang terima ugutan bunuh

Di mana 30% perwakilan wanita dalam kerajaan, soal aktivis

Kumpulan sivil desak 30% perwakilan wanita dalam Kabinet