Nikah bawah umur: Putrajaya rangka SOP baru untuk hakim syarie

PETALING JAYA: Kerajaan berkata, ia lebih cenderung menyeragamkan prosedur untuk hakim syarie di seluruh negara dalam menangani masalah perkahwinan kanak-kanak Islam, susulan gesaan undang-undang menyeluruh bagi melarang pernikahan bawah umur di peringkat persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh memberitahu FMT, masalah itu adalah rumit dan sukar disebabkan sifat undang-undang syariah di negara ini.

“Kementerian saya bersetuju perkahwinan kanak-kanak membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan, itu sebabnya kami merangka SOP buat hakim syarie dalam membenarkan perkahwinan bawah umur dengan matlamat utama bagi melindungi kesejahteraan kanak-kanak,” katanya yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam.

Katanya, walaupun pakar Islam kerajaan menyatakan perkahwinan kanak-kanak membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan, terpulang kepada setiap negeri untuk mengikuti nasihat mereka, di mana raja Melayu mempunyai kuasa untuk menggubal enakmen Islam.

Pada 2014, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menasihatkan pihak berkuasa Islam negeri memperketatkan syarat perkahwinan bawah umur kerana ia tidak digalakkan Islam atau memanfaatkan kanak-kanak.

Mengikut undang-undang, usia minimum bagi umat Islam berkahwin ialah 16 tahun, tetapi hakim syarie mempunyai kuasa untuk menurunkan had umur itu berdasarkan kes berasingan.

Isu perkahwinan kanak-kanak mendapat perhatian selepas seorang lelaki berusia 41 tahun mengahwini seorang kanak-kanak Thailand 11 tahun di Sungai Golok, pada 18 Jun lalu, dan pelbagai pihak menggesa larangan ke atas amalan itu.

Kumpulan bekas penjawat awam, G25 berkata, pihak berkuasa persekutuan perlu melarang perkahwinan bawah umur dan mempersoalkan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melepaskan tanggungjawab kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa supaya kerajaan negeri menggubal undang-undang bagi melarang amalan itu.

Pemeriksaan kesihatan, latar belakang ibu bapa

Fuziah berkata, sebaik sahaja “SOP komprehensif” dilaksanakan menjelang akhir tahun ini, hakim syarie perlu mematuhi prosedur ketat untuk membenarkan perkahwinan kanak-kanak.

Katanya, prosedur itu termasuk pemeriksaan kesihatan fizikal, psikologi dan emosi.

“SOP itu juga termasuk mengenal pasti alasan berkahwin dan status kewangan ibu bapa kanak-kanak itu.

“Kami tidak mahu ibu bapa bersetuju hanya kerana kemiskinan.”

Katanya, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia perlu memastikan semua hakim syarie mematuhi SOP itu.

“Jika hakim tidak membenarkan perkahwinan bawah umur itu berdasarkan SOP itu, maka kanak-kanak itu tidak boleh bernikah.”