GST lebih telus, kata Guan Eng

Katanya SST adalah cukai yang tidak telus kerana rakyat perlu membayar tetapi cukai yang dikutip tidak dimasukkan dalam resit, berbanding cukai GST yang tercatat pada resit.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengakui sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lebih telus berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Katanya, apa yang membezakan 2 sistem itu ialah kesannya ke atas rakyat, dengan GST lebih membebankan berbanding SST.

“Kita tidak dapat nafikan ada masalah dari segi penguatkuasaan dan ketirisan yang akan dicari oleh pihak pengilang. Saya akan pastikan Kastam cari kaedah pengkuatkuasaan lebih berkesan.

“Kita tak dapat nafikan kalau sebut mana lebih telus tentu GST lebih telus, ia boleh kutip lebih banyak cukai dengan meluas dan mempunyai kesan ke atas rakyat.

“SST, walaupuan tidak setelus dan seefisen GST, tetapi kesannya kurang ke atas rakyat. Kita beri tumpuan untuk kurangkan cukai yang kena ke atas mereka,” katanya.

Guan Eng berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang meminta menteri kewangan menjelaskan cukai mana lebih telus antara SST dan GST.

Katanya SST adalah cukai yang tidak telus kerana rakyat perlu membayar tetapi cukai yang dikutip tidak dimasukkan dalam resit, berbanding cukai GST yang tercatat pada resit.

Guan Eng berkata sistem cukai yang dilaksala kerajaan Pakatan Harapan tidak seperti Barisan Nasional kerana impak SST kebih kecil berbanding GST.

“Impaknya bukan macam BN, harga barang tidak turun. Kita tidak nafi ada impak. Impak SST kurang daripada GST. GST kita kutip RM44 bilion, SST impak ada, tetapi separuh daripada GST dengan jumlah kutipan sebanyak RM21 bilion,” kata beliau.

“Secara ringkasnya GST dikenakan ke atas 60% produk, manakala SST dikenakan ke atas 38%. Di bawah GST contoh barangan dikenakan cukai, tapi kini tidak dikenakan di bawah SST ialah sardin, susu, kopi, teh, sos cili, sos tomato, bijirin, srikaya, motosikal bawah 250cc, dan basikal,” katanya.

Sebelum ini Guan Eng memberitahu akta SST dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan untuk diluluskan dan seterusnya dilaksanakan bermula 1 September ini.

Katanya, di bawah undang-undang yang dicadangkan itu cukai jualan akan dikenakan sebanyak 10%, sementara cukai perkhidmatan sebanyak 6%.