Hentikan dasar pemimpin pegang wang Umno, kata Ku Li

Tengku Razaleigh Hamzah berkata, masalah utama dihadapi Umno ialah politik wang yang diamalkan individu tertentu.

KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa parti itu menghentikan dasar membenarkan pemimpin memegang dana parti.

Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, masalah utama dihadapi Umno ialah politik wang yang diamalkan individu tertentu.

“Tidak ada mana-mana ahli harus kumpul derma atau dana-dana yang diterima untuk parti. Semua dana yang diterima harus diletakkan atas nama Umno, bukan nama individu yang memegang jawatan dalam parti,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Wang tunai dalam 26 jenis mata wang berjumlah RM116.7 juta antara barang berharga lebih RM1 bilion yang dirampas dalam serbuan ke atas 6 premis dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, seminggu selepas pilihan raya umum Mei lalu.

Enam premis digeledah polis sejak malam 16 Mei lalu, iaitu kediaman peribadi Najib di Taman Duta, 3 kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana yang digunakan Najib sejak 2009, dalam siasatan berkaitan 1MDB.

Pada 11 Julai lalu, Umno dilaporkan melantik peguam, Datuk Hariharan Tara Singh dalam usaha menuntut kembali RM116.7 juta dirampas polis yang didakwa milik Umno.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia turut membekukan akaun Umno selepas siasatan mendapati wang parti itu ada kaitan dengan 1MDB.