Kastam nafi kereta penumpang tiada SST

T Subromaniam berkata, kenderaan penumpang yang siap dipasang dengan komponen CKD diimport tertaklik kepada SST. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini menjelaskan kenderaan penumpang sememangnya dicadang dikenakan cukai jualan, tetapi terdapat pihak yang salah tafsir senarai dimuat naik dalam laman web jabatan itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromaniam berkata barang yang dikecualikan cukai jualan dalam senarai itu hanya merujuk komponen terurai (CKD) bagi pemasangan kenderaan penumpang sahaja.

“Apabila kenderaan siap dipasang daripada komponen CKD yang diimport tadi, kenderaan yang telah siap tersebut tertakluk kepada cukai jualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JKDM memuat naik cadangan barang dikecualikan cukai jualan hari ini.

Barangan ini dirujuk kepada kod tarif yang dicadangkan untuk dikecualikan cukai jualan semasa pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 September nanti.

Selepas senarai itu dimuat naik, berita berkaitan kenderaan penumpang bermotor tidak dikenakan cukai jualan tersebar luas.

“Dengan penjelasan ini, JKDM berharap isu ini selesai dan tidak mengelirukan rakyat dan pengguna,” kata Subromaniam.